Bekas ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip adalah antara sembilan anggota baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Air (Span) yang dilantik semalam.
Bersama pengerusinya, Charles Santiago yang dilantik bulan lalu, kini terdapat dua bekas ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dalam suruhanjaya yang mengawal bekalan air dan perkhidmatan pembetungan di Semenanjung Malaysia dan Labuan.
Nor Azrina adalah ahli majlis pimpinan pusat PKR yang dilantik. Dia pernah menjadi ahli parlimen Merbok selama satu penggal sehingga disingkirkan pada pilihan raya umum November 2022 lalu.
Anggota lain Span adalah bekas penjawat awam kanan, Ching Thoo; tokoh korporat, Hamidah Moris; tokoh korporat Loo Took Gee; ahli akademik, Ahmad Jusoh; aktivis hak pengguna, Muhammad Sha'ani Abdullah; peguam dan bekas ahli majlis bandaran, Derek John Fernandez; tokoh korporat, Syed Mohamed Adnan Mansor Alhabshi dan ahli akademik, Mohd Azmi Ismail.
Tempoh mereka akan berakhir pada 2025.
Dalam satu kenyataan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata suruhanjaya itu mempunyai peranan besar dalam menstruktur semula industri air bagi membantu pembangunan negara.
Dia juga berkata barisan baharu di Span mempunyai keupayaan untuk membantu suruhanjaya itu mencapai objektifnya kerana pengalaman luas mereka.
“Saya yakin pasukan baharu ini mampu memacu Span untuk kekal relevan dalam melaksanakan fungsinya sebagai badan kawal selia perkhidmatan air yang bebas dan dihormati,” kata Nik Nazmi.