Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pernahkah Hamzah, Hadi, Muhyiddin kemuka soalan buat Anwar?'
Diterbitkan:  Apr 7, 2023 11:46 AM
Dikemaskini: 5:04 AM

Ketiadaan tiga pemimpin tertinggi di parlimen semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) terus mengundang kritikan.

Terbaru Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh yang enggan menerima hujah dan alasan yang diberikan pembangkang bagi mewajarkan ketiadaan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Wong menjelaskan ada perbezaan di antara tidak berpeluang mengemukakan soalan secara langsung kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan memang sejak awal tidak mengemukakan soalan.

“Apabila PN merungut yang tiga pemimpin tertinggi mereka tidak ada peluang untuk bertanya soalan kepada perdana menteri, soalan pertama yang harus dijawab ialah, adakah ketiga-tiga mereka pernah mengemukakan sebarang soalan untuk PMQT?

"Ia adalah logik yang mudah, tidak ada soalan (daripada Hamzah, Muhyiddin atau Abdul Hadi) yang akan terpilih (untuk dijawab Anwar) kalau tidak ada soalan yang dikemukakan," katanya hari ini.

Kehadiran di parlimen menjadi isu yang memanaskan pertembungan di antara blok kerajaan dan pembangkang akhir-akhir ini.

Ia bermula apabila ahli parlimen kerajaan mempersoalkan ketiadaan Hamzah, Muhyiddin dan Abdul Hadi semasa Anwar diberi ruang untuk menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya setiap Selasa semasa Dewan Rakyat bersidang.

Ketiadaan mereka dilihat sebagai tidak seimbang dengan kritikan yang dibuat kepada kerajaan - khususnya Anwar - di luar dewan.

Bagaimanapun beberapa tokoh kanan PN membela ketidakhadiran tersebut dengan mendakwa tidak banyak yang boleh dilakukan Hamzah, Abdul Hadi dan Muhyiddin sekali pun mereka berada di depan Anwar semasa PMQT.

Antara pemimpin PN yang berhujah sebegitu ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Kata Wong mengikut prosedur sidang Dewan Rakyat, walaupun seseorang ahli parlimen tidak mengemukakan soalan untuk dijawab perdana menteri, atau soalan yang disediakan tidak terpilih untuk dijawab semasa PMQT, mereka masih ada ruang untuk bangun dan mengemukakan pertanyaan.

Akan diberi keutamaan

Bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu menjelaskan ahli parlimen boleh mengemukakan soalan tambahan kedua, malah ketiga, jika dibenarkan speaker.

"Kedua-dua pihak dalam dewan (blok kerajaan dan pembangkang) akan diberi peluang yang sama untuk bertanya soalan tambahan," katanya.

Menurut Wong lagi pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat pada 4 April lalu speaker bahkan memberi ruang kepada soalan tambahan keempat dikemukakan kepada Anwar.

"Malah menjadi konvensyen (disepakati) jika ketua pembangkang berdiri dan meminta untuk bercakap - atau dalam kes ini mengemukakan soalan tambahan - dia akan diberi keutamaan.

"Begitu juga dengan mereka yang menjadi pemimpin kanan parti. Ketiga-tiga mereka (Hamzah, Muhyiddin dan Abdul Hadi) termasuk dalam kategori ini.

"Tetapi apabila anda tidak berada dalam Dewan Rakyat, pastilah anda tidak berpeluang untuk bertanya soalan tambahan, tidak kira betapa senior pun anda. Logik mudah," tegasnya.

Analisis sidang Dewan Rakyat lalu - bagi tempoh 26 Julai 2021 dan 23 Mac 2022 - menunjukkan Hamzah, Abdul Hadi dan Muhyiddin mencatatkan rekod kehadiran antara yang terburuk.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS