Peguam Negara membantah permohonan parti Bersatu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun banknya bagi tujuan siasatan.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, bagi pihak Peguam Negara, memberitahu Mahkamah Tinggi, di Kuala Lumpur, bahawa perintah pembekuan oleh SPRM itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.
“Kuasa mengeluarkan perintah pembekuan adalah salah satu mekanisme siasatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta seseorang apabila memenuhi beberapa syarat," katanya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.
Pertuduhan jenayah terhadap Muhyiddin
Beliau berkata permohonan kebenaran itu harus ditolak atas alasan akaun bank Bersatu yang dibekukan telah menjadi subjek pertuduhan jenayah, menjadikan sebarang aduan berkaitan akaun bank tersebut berada dalam bidang kuasa mahkamah jenayah.
“Perintah pembekuan itu, yang dikeluarkan ke atas akaun bank Bersatu kini telah menjadi subjek dalam pertuduhan jenayah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu).
“Oleh itu, kami menyatakan bahawa dengan membenarkan kebenaran semakan kehakiman terhadap perintah pembekuan tersebut akan membawa kepada campur tangan mahkamah sivil dalam melaksanakan kuasa penyeliaannya dengan bidang kuasa mahkamah jenayah," katanya.
Pada 8 Mac lalu, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Muhyiddin bagi pihak parti berkenaan memfailkan semakan kehakiman itu dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan 19 lain sebagai responden pertama hingga ke-20.
Antara respondennya ialah Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud.
Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin, bekas Perdana Menteri, didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.
Passport Muhyiddin kekal disimpan mahkamah
Tiga hari kemudian, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta, awal tahun lalu.
Mengenai permohonan kebenaran Muhyiddin bagi mencabar larangan perjalanan terhadapnya, Shamsul berkata ia harus ditolak kerana ia sudah ditarik balik, menjadikan ia semata-mata bersifat akademik dan hipotesis.
“Bagaimanapun, pada masa ini, sekatan perjalanan masih dikenakan oleh responden ke-19 (Jabatan Imigresen) terhadap Muhyiddin tetapi pengenaan itu dibuat berdasarkan permintaan Mahkamah Sesyen di sini, dalam surat bertarikh 10 Mac.
“Oleh itu, pasport antarabangsa Muhyiddin kekal dalam simpanan Mahkamah Sesyen dan beliau akan dikehendaki mendapatkan kebenaran mahkamah jenayah untuk melakukan perjalanan,” katanya.
Sementara itu, peguam Bersatu, Rosli Dahlan, berkata bahawa permohonan itu jelas tidak remeh atau menyusahkan dan ia memerlukan merit untuk dihujahkan di peringkat substantif.
Rosli berkata adalah tidak rasional bagi Jabatan Imigresen untuk mengenakan larangan perjalanan terhadap Muhyiddin hanya atas arahan SPRM.
Hakim Ahmad Kamal menetapkan 17 Mei ini bagi keputusan.
- Bernama