Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PANDUANKINI l Apa natijah pendedahan siasatan nahas pesawat Sabah Air

PANDUANKINI l Pada 6 Jun 1976, sebuah pesawat Nomad yang dikendalikan oleh Sabah Air meninggalkan Labuan menuju Kota Kinabalu dengan membawa ramai tokoh penting negeri itu.

Tetapi ketika menghampiri Kota Kinabalu., pesawat GAF N-22B Nomad itu terhempas di perairan cetek di luar daerah Sembulan. Nahas itu meragut nyawa 11 penumpangnya.

Kemalangan itu memberi impak kepada rakyat Sabah ketika itu.

Fuad Stephens, yang baru sahaja dilantik semula sebagai Ketua Menteri selepas hampir sedekad memerintah, adalah antara mangsa berprofil tinggi yang terbunuh.

Selain ketua menteri itu, mereka yang terbunuh termasuk berapa menteri Sabah, iaitu Salleh Sulong, Peter Mojuntin dan Chong Thien Vun, serta anak sulung Fuad, Johari Stephens.

Minggu ini, hampir 47 tahun selepas nahas tragis itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan mendedahkan laporan siasatan persekutuan kepada umum.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim

“Selama ini kerajaan belum memutuskan untuk menghebahkan, menzahirkan atau diturun taraf (dinyahklasifikasi) di bawah seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta 88.

“Hari ini jemaah menteri mengambil kira pandangan dikemukakan oleh rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan juga tuntutan dibuat keluarga waris yang menginginkan maklumat terperinci.

"Ia selari dengan dasar keterbukaan dan transparency yang diamalkan kerajaan perpaduan.

“Oleh demikian kita memutuskan bahawa laporan akhir siasatan kemalangan udara pesawat tersebut akan diturun taraf,” katanya pada sidang media semalam selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Putrajaya.

S: Mengapa banyak teori timbul?

J: Koroner pada masa siasatan awal adalah Ansari Abdullah dan dia membuat keputusan terbuka.

Walau bagaimanapun, terdapat implikasi bahawa kesilapan manusia dan lebihan muatan pesawat itu adalah untuk dipersalahkan.

Beberapa bulan selepas nahas itu, siasatan yang dijalankan oleh pakar Nomad dan pegawai Kementerian Pengangkutan Australia ditutup tetapi laporannya tidak didedahkan kepada umum.

Timbalan menteri komunikasi Malaysia ketika itu, Ali Md Sharif, sebaliknya membuat kenyataan mengenai penemuan siasatan, berkata: “Penemuan pasukan penyiasat tidak mendedahkan sebarang kesilapan teknikal atau sabotaj sebagai punca nahas udara tersebut.

“Apa yang mereka temui ialah nahas itu disebabkan oleh kesilapan manusia. Turut didedahkan bahawa ruang simpanan pesawat di bahagian belakang pesawat dimuatkan dengan barangan yang melebihi muatan maksimum.

“Akibatnya pesawat itu hilang kawalan ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, sekali gus mengakibatkan kemalangan.”

Allahyarham Fuad Stephens

Memandangkan implikasi politik kemalangan itu dan ia berlaku hanya 53 hari selepas Fuad menggantikan ketua menteri sebelum itu, Mustapha Harun, ini menjadi titik fokus bagi teori konspirasi.

Ramai rakyat Sabah yang percaya ada tangan-tangan lain di sebalik apa yang berlaku dan mengaitkannya dengan pihak berkuasa persekutuan.

Fuad sebelum ini berkhidmat sebagai ketua menteri pertama Sabah pada 1963, dan juga sebagai menteri persekutuan serta gabenor negeri itu. Dia dilihat sebagai ahli politik yang paling berkarisma.

Ketika itu, Fuad baru sahaja meraikan kemenangan besarnya ke atas seteru politiknya, Mustapha dengan parti Berjaya yang baru ditubuhkan - ketika ketegangan memuncak di antara Mustapha dan kerajaan persekutuan.

S: Adakah pertikaian bayaran royalti minyak antara faktor?

J: Sabah dan kerajaan persekutuan pernah bertelagah mengenai bayaran royalti minyak. Kerajaan negeri pimpinan Mustapha menuntut bahagian atau peratusan tinggi bagi hasil minyak Sabah yang disalurkan.

Mustapha juga telah terlibat dalam pergaduhan dengan Filipina, yang mengekalkan tuntutan negara itu ke atas Sabah. Dia juga menuntut - dan menerima - autonomi apabila melibatkan imigresen/kemasukan ke Sabah.

Sebelum nahas itu, berlaku juga letupan bom di sebuah pusat membeli-belah di Kota Kinabalu, susulan tindakan polis menangkap dan menahan beratus-ratus orang, termasuk abang ipar Mustapha.

Harris Salleh

Selepas kemalangan itu, timbalan Fuad, Harris Salleh mengangkat sumpah sebagai ketua menteri. Dan hanya lapan hari kemudian, pada 14 Jun, Harris menandatangani perjanjian royalti minyak yang hanya memberi negeri itu pampasan sebanyak 5 peratus sahaja untuk menyerahkan semua hak sumber minyak luar pesisir Sabah yang kaya kepada syarikat minyak nasional, Petronas.

Sehingga hari ini, kadar royalti minyak yang rendah yang dikembalikan kepada negeri itu untuk pembangunannya menjadi satu pertikaian dan disebut-sebut sebagai antara sebab Sabah menjadi salah satu negeri termiskin di Malaysia.

S: Adakah ini akibat perebutan kuasa antara kerajaan persekutuan dan Sabah?

J: Ramai di Sabah dan Sarawak percaya bahawa kerajaan persekutuan cuba menukar pemimpin negeri di Sarawak (Stephen Kalong Ningkan) dan Sabah dengan individu yang menjadi pilihan mereka.

Salah satu subteks untuk ini ialah kedua-dua negeri mempunyai penduduk yang majoriti mereka beragama Kristian semasa pembentukan Malaysia dan ketua menteri pertamanya juga adalah bumiputera Kristian (ketika itu Fuad masih belum memeluk Islam dan dikenali sebagai Donald Stephens).

Kedua-dua mereka telah diganti, sebelum tempoh perkhidmatan mereka berakhir, oleh ahli pemimpin minoriti Islam dan ini adalah teori lazim, pada masa itu, bahawa ini adalah cara kerajaan persekutuan untuk memperkuhkan kawalan ke atas negeri-negeri berkenaan.

Anak perempuan Fuad, Faridah mengulas mengenai perkara ini, berkata: “Mereka telah melakukannya berulang kali sejak Malaysia ditubuhkan. Bagaimanapun, sementara Fuad Stephens disingkirkan sebagai KM pada 1964, dia juga disokong oleh Malaysia Barat menentang Mustapha dari Usno pada pilihan raya 1976.”

Faridah Stephens, Anak Allayarham Fuad Stephens

S: Benarkah Tengku Razaleigh sepatutnya dalam penerbangan sama?

J: Bertahun-tahun selepas peristiwa itu, Harris Salleh mendapati dirinya menjadi mangsa khabar angin kononnya dia mengetahui mengeani nahas tersebut.

Pada 1 Mac 2012, bekas ketua menteri Sabah Yong Teck Lee diperintahkan membayar RM1 juta oleh Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu, selepas didakwa memfitnah Harris.

Yong memohon satu lagi siasatan ke atas nahas itu berikutan laporan yang memetik bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai berkata bahawa dia sudah bersiap sedia menaiki pesawat malang itu apabila Harris memintanya supaya turun dan menyertai penerbangan Nomad lain ke Pulau Banggi untuk memeriksa sebuah ladang ternakan lembu.

Jawapan Harris ialah Razaleigh tidak pernah dijadualkan terbang ke Kota Kinabalu bersama Stephens tetapi berhasrat untuk terbang bersama ketua menteri Sarawak ketika itu Rahman Yaakub ke Kudat dengan pesawat Nomad kedua dan kemudian dengan helikopter ke Banggi.

Tengku Razaleigh Hamzah

Ahli akademik Prof Shamsul Amri Baharuddin yang terkesan oleh kejadian itu berkata: “Rakan sebilik saya Ishak Atan berada di pesawat tersebut. Dia adalah setiausaha sulit Tengku Razaleigh, yang sepatutnya berada di pesawat itu, tetapi pada saat-saat akhir mereka bertukar dan Ishak yang kehilangan nyawanya. Ia adalah takdir.”

Bekas editor The Star PK Katharason bersetuju, dengan berkata: "Oleh kerana Razaleigh sepatutnya berada di dalam pesawat, dan Harris memintanya untuk terbang bersamanya, Harris terpaksa berdepan dengan banyak spekulasi selama bertahun-tahun.

"Sebab itu dia mengheret Yong ke mahkamah untuk membersihkan namanya," katanya.

S: Apa kemungkinan jika kecacatan reka bentuk Nomad punca nahas?

A: Faridah, semalam menyambut baik keputusan kerajaan untuk mendedahkan laporan siasatan persekutuan, tetapi memberitahu Malaysiakini bahawa kerajaan Australia juga mesti mendedahkan semua dokumen yang dimilikinya berkaitan dengan pesawat Nomad.

GAF Nomad ialah pesawat utiliti yang dihasilkan oleh Government Aircraft Factories (GAF) Australia di Melbourne.

Pengeluaran dihentikan pada tahun 1985.

“Ketika itu mereka mengatakan bahawa pesawat itu terlebih muatan dan oleh demikian nahas tersebut disebabkan oleh kecuaian. Pasukan yang datang dari Australia untuk menyiasat nahas itu juga berkata bahawa tiada pesawat Nomad yang terhempas sebelum ini.

“Kami kemudiannya mendapat tahu bahawa ini tidak benar. Terdapat kemalangan Nomad pada tahun 1973. Malah, pada Ogos 1976, hanya dua bulan selepas kemalangan itu, sebuah lagi pesawat Nomad terhempas semasa ujian di Avalon, di luar Melbourne, Australia. Seorang juruterbang dan seorang anak kapal terbuh,” katanya.

Faridah seterusnya merujuk kepada sebuah dokumentari oleh Suruhanjaya Penyiaran Australia, berjudul Four Corners, yang diterbitkan pada 1995 memaprkan rekod buruk pesawat Nomad.

“Tentera Australia enggan menerbangkannya pada masa itu dan menggelarnya sebagai ‘the widow maker’ kerana ia sangat tidak stabil.

“Dokumentari itu berdasarkan kepada laporan 10 jilid mengenai Nomad, tetapi ia nampaknya tidak didedahkan kepada umum,” kata Faridah.

Malah kajian tentang sejarah penerbangan Nomad menceritakan segala-galanya. Daripada 172 Nomad yang dibina, tidak kurang daripada 32 dilaporkan mempunyai masalah.

Pada Januari 2010, nahas Nomad di Filipina mengorbankan lapan anggota tentera, manakala pada 2009 terdapat kemalangan maut lain di Lop Buri, Thailand, dan Bulungan, Indonesia.

“Kita tidak pasti tentang apa yang berlaku selepas itu.

"Mereka yang diberi tugas untuk menyiasatnya, tidak jujur sepenuhnya," dakwa Faridah.

“Dan bukti sudah tentu hilang. Saya masih mengatakan bahawa kemungkinan terbesar punca nahas adalah kerana pesawat itu rosak.”

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS