Sejak awal Ramadan, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang berjaya 'menyelamatkan' kira-kira 200 kilogram (kg) sisa makanan daripada terbuang begitu sahaja.
Jumlah sisa makanan itu pula adalah hanya dari satu bazar Ramadan yang beroperasi di Jalan Mahkota, dekat bandar raya Kuantan.
Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid, berkata sebahagian daripada sisa makanan itu akan ditukar menjadi baja menggunakan mesin kompos organik ditempatkan di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK1).
"Melalui program 'Kompos @ Bazar' kami dah berjaya mengumpul dan memproses kira-kira 56kg sisa makanan daripada pengunjung bazar (Ramadan) Jalan Mahkota yang berbuka puasa di padang MBK1.
"Sisa makanan itu pekerja kita kumpul sebelum diproses menjadi baja menggunakan mesin terbabit.
"Objektif utama kita adalah untuk membudayakan amalan kitar semula dan mengurangkan pembuangan sisa makanan terus ke tong sampah," katanya ketika ditemui media di Kuantan, hari ini.
Sharudin berkata, mesin kompos organik itu mampu memproses 25kg sisa makanan pada satu masa dan baja akan terhasil dalam tempoh tujuh hari, lebih cepat berbanding menggunakan kaedah konvensional yang biasanya mengambil masa sehingga dua minggu.
"Baja ini kami akan kumpul hinggalah ke akhir Ramadan sebelum diserahkan semula kepada pihak (pengendali) kebun komuniti Pinggiran Putra.
"SWCorp juga sedang berbincang dengan MBK untuk menempatkan mesin kompos ini di lokasi lain seperti kawasan pasar, medan selera dan kawasan perumahan pada masa akan datang," katanya lagi.
Selain program Kompos @ Bazar, SWCorp Pahang juga melaksanakan dua lagi program 'menyelamatkan' makanan dan sisa makanan dari bazar Ramadan.
Golongan memerlukan dapat bantuan
Program itu adalah Trash to Cash dan Save My Food yang dimulakan sejak 2019.
Sharudin memaklumkan kempen Trash to Cash sudah mengumpul 55kg barangan kitar semula sejak awal Ramadan lalu.
"Ini pun kami kumpul dulu dan apabila sampai penghujung Ramadan barulah dijual dan hasilnya kami agihkan kepada rumah kebajikan dan anak yatim.
"Tahun lalu kami kumpul 7,783kg barangan kitar semula termasuk minyak masak dengan nilai jualan semula RM4,508," katanya.
Sementara itu, melalui program Save My Food pula, Sharudin memberitahu sebanyak 89kg lebihan makanan yang masih elok dari bazar Ramadan Jalan Mahkota diselamatkan daripada dibuang.
"Makanan itu bukanlah sisa tapi lebihan jualan dari gerai di Jalan Mahkota.
“Ia dikumpulkan dan diagihkan kepada golongan memerlukan sekitar bandar raya ini," katanya.