Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surat sebut hakim ada kepentingan: Azalina kunci mulut 
Diterbitkan:  Apr 6, 2023 12:57 PM
Dikemaskini: 5:18 AM
  • Dikemas kini dengan penjelasan peguam Najib.

Menteri undang-undang Azalina Othman Said enggan mengulas berhubung kesimpulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International.

Free Malaysia Today memetik surat yang dikatakan daripada Azalina bertarikh 20 Mac kepada Shafee & Co yang membela Najib Razak, memaklumkan bahawa Nazlan melanggar kod etika dan mempunyai konflik kepentingan.

Azalina dilaporkan memetik kandungan makluman diterima daripada SPRM ketika menjawab pertanyaan peguam Najib yang mahu tahu sama ada suruhanjaya itu mengesyorkan prosiding tatatertib dimulakan terhadap Nazlan.

Azalina dilaporkan menjelaskan:

“Saya boleh mengesahkan persoalan-persoalan yang dikemukakan bahawa soalan-soalan tersebut telah dijawab secara afirmatif.”

Farhan Shafee, seorang peguam pasukan Najib memberitahu Malaysiakini bahawa kandungan surat yang bocor itu adalah benar.

“Kami tidak tahu bagaimana surat-surat ini tersebar di domain awam.

“Tetapi apa pun, ia asli,” katanya.

Mohd Nazlan Mohd Ghazali

Dakwaan konflik kepentingan itu menjadi asas utama rayuan pasukan Najib untuk membatalkan sabitan kes dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 terhadap bekas perdana menteri atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Diminta mengesahkan perkara ini oleh Malaysiakini sebentar tadi, Azalina enggan memberikan sebarang maklum balas.

Sabtu lalu, anak Najib, Nooryana, memuat naik sepucuk surat didakwa daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang menyebut Nazlan melanggar kod etika hakim.

Nazlan adalah hakim perbicaraan yang memutuskan Najib bersalah dalam kes membabitkan bekas anak syarikat 1MDB berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS