Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes seksa anak kera: NGO hak haiwan kecewa AGC klasifikasi NFA

NGO hak asasi haiwan menyatakan rasa kecewa atas keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasi kes tiada tindakan lanjutan (NFA) berhubung dakwaan seorang individu menyeksa anak kera ekor panjang (long-tailed macaque) demi kepuasan peribadi dan mendapat wang di media sosial.

Peguam Rajesh Nagerajan yang mewakili kumpulan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini selepas menerima surat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.

"Kami kecewa dengan keputusan timbalan pendakwa raya mengarahkan pihak polis supaya tiada tindakan lanjutan.

“Kami akan menulis surat kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk menanyakan sebab tiada tindakan lanjutan.

"Sekiranya, AGC gagal memberikan alasan atau memberikan alasan yang tidak boleh diterima maka, kami akan memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan AGC.

"Kami akan mencabar Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Terdahulu, kumpulan tersebut membuat satu laporan polis di IPD Shah Alam pada 20 Jan lalu, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera ke atas individu tersebut.

Dr Kartini Farah Abdul Rahim (gambar, atas) yang mewakili Hidup membuat laporan polis itu selepas menerima maklumat daripada kumpulan hak asasi hidupan liar antarabangsa.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, pelaku merakam tindakan menyeksa haiwan itu dan menjual rakamannya di akaun Telegram bernama Monkey Haters.

NGO itu menerima rakaman penyeksaan terhadap haiwan berkenaan membabitkan tindakan memukul kera dengan objek tumpul, membakar, merebus dan melapahnya hidup-hidup.

Mereka mendakwa pelaku menyeksa anak-anak kera itu dengan objek tumpul ketika ia masih hidup dan menjerit kesakitan.

Semasa proses penyeksaan itu, pelaku mengambil gambar dan video, dan menyiarkannya di Telegram, seperti treler.

Jika sesiapa dalam kumpulan Telegram ingin menonton video penuh, mereka perlu membayar sejumlah wang kepada pelaku.

Susulan tiada sebarang maklumat daripada polis, pada 14 Mac Rajesh menulis surat kepada polis bertanyakan status terkini kes tersebut.

IPD Shah Alam membalas surat tersebut semalam memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya pada 30 Mac dan menerima arahan tiada tindakan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS