Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu lega anak ada harapan terlepas tali gantung kes ganja

Sejak dua dekad lalu, Siti Zabidah Muhammad Rasyid mengharapkan keajaiban untuk menyelamatkan anaknya Razali daripada hukuman mati.

Dia dijatuhi hukuman mati 23 tahun lalu selepas melanggar undang-undang keras negara mengenai dadah apabila dia ditangkap bersama 851 gram ganja.

Tetapi doa Siti Zabidah dimakbulkan minggu ini apabila parlimen meluluskan reformasi undang-undang menyeluruh untuk membatalkan hukuman mati mandatori.

"Kegembiraan itu amat besar," kata Siti Zabidah (atas) yang sebak, bercakap dari kediamannya di Gombak, Selangor.

Dia berkata, anaknya memberitahu bahawa rakannya memaksanya membawa dadah itu dan kemudian menjadikan dia kambing hitam selepas ditahan.

Seorang hakim menolak cubaan awal oleh keluarga untuk memfailkan rayuan terhadap hukuman itu.

Dia menceritakan bagaimana dia rebah selepas mendengar keputusan hakim, bimbang jalan undang-undang untuk anaknya tertutup.

"Saya boleh teruskan hidup tanpa suami tetapi bukan tanpa anak," katanya.

Lebih 1,300 orang yang berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup di Malaysia - termasuk mereka yang telah menamatkan semua rayuan undang-undang - boleh mendapatkan semakan hukuman di bawah undang-undang baru yang diluluskan pada Isnin.

Pindaan itu terpakai untuk 34 kesalahan yang boleh dihukum mati, termasuk pembunuhan dan pengedaran dadah. Sebelas daripada kesalahan berkenaan telah menetapkan hukuman mati sebagai hukuman mandatori.

Buat masa ini, hukuman penjara seumur hidup, yang ditakrifkan oleh undang-undang sebagai tempoh tetap selama 30 tahun, akan dikekalkan.

Nasib anak Siti Zabidah terletak di tangan mahkamah, yang akan memutuskan kemungkinan hukuman lain atau sabitan alternatif.

Alternatif kepada hukuman mati di bawah peraturan baru itu termasuk rotan dan hukuman penjara sehingga 40 tahun.

Siti Zabidah berkata dia akan tetap bersama anaknya, walau apa pun yang berlaku.

"Selagi saya masih hidup, saya akan berikan dia kekuatan," katanya.

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS