Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim berjaya dapat laporan forensik bagi kes projek terowong
Diterbitkan:  Apr 5, 2023 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Lim Guan Eng untuk mendapatkan laporan forensik perbualan di aplikasi WhatsApp antara dua ahli perniagaan dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat dua keterangan berbeza di dua mahkamah membabitkan baucar pembayaran dan cek yang sama mengenai tujuan penyerahan dan kepada siapa wang RM2 juta diserahkan.

Azura berkata berdasarkan nota prosiding dan pernyataan bertulis saksi-saksi di Mahkamah Shah Alam yang telah dikemukakan sebagai eksibit dalam permohonan itu, mahkamah mendapati pemohon (Lim) berjaya menunjukkan wujudnya fakta baucar pembayaran dan cek Public Bank telah digunakan bagi pengeluaran wang RM2 juta yang dikatakan telah diserah kepada ahli perniagaan G Gnanaraja.

“Dalam kes di hadapan mahkamah ini (Mahkamah Sesyen), keterangan (saksi) menunjukkan bahawa baucar pembayaran dan cek yang sama juga telah dikemukakan dan telah ditanda sebagai eksibit P140 dan P141 yang mana wang RM2 juta tersebut dikatakan diserahkan kepada tertuduh (Lim).

“Keterangan juga menunjukkan terdapat perbincangan berkenaan wang tersebut (RM2 juta) melalui perbualan WhatsApp antara pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan Gnanaraja,” katanya.

Menurut Azura, terdapat juga laporan analisis forensik digital yang disediakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan perbualan WhatsApp tersebut dalam kes rasuah Lim di mahkamah ini.

“Bagaimanapun, laporan analisis forensik digital dalam kes di Mahkamah Shah Alam yang dimohon oleh pemohon tidak pernah dikemukakan di mahkamah ini,” katanya.

Sehubungan itu, Azura berkata perkara tersebut adalah satu isu yang relevan mengikut Seksyen 5 dan 11 Akta Keterangan 1950 yang fakta menyeluruh harus dibentang dan dikemukakan kepada mahkamah agar kebenaran dapat diketahui.

“Pemohon perlu mendapatkan laporan analisis forensik digital dan laporan pengadu dalam kes di Mahkamah Shah Alam bagi menyediakan pembelaan yang adil. Mahkamah bersetuju dan mendapati prinsip kesamarataan dan perbicaraan yang adil seperti termaktub dalam Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan akan dapat dicapai dengan membenarkan permohonan ini.

“Berikutan itu, pemohon telah berjaya menunjukkan kepada mahkamah kenapa laporan forensik itu perlu dan penting kepada pembelaan dan permohonan di bawah Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah harus dibenarkan,” kata hakim itu.

Selepas keputusan itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim memohon kepada mahkamah tarikh sebutan kes untuk pihak pendakwaan memaklumkan mengenai penyerahan laporan forensik tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihaknya akan menyerahkan laporan forensik itu kepada pembelaan dalam tempoh dua minggu mulai hari ini.

Azura kemudian memerintahkan laporan forensik itu diserahkan dalam tempoh dua minggu mulai hari ini dan sebutan kes ditetapkan pada 10 Mei untuk pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah mengenai penyerahan laporan tersebut.

Laporan forensik tersebut membabitkan perbualan antara Gnanaraja dan Zarul Ahmad berhubung pemberian ‘Coklat RM2 juta’ yang didakwa telah diberikan kepada Lim sebagai rasuah.

Perbualan dalam aplikasi WhatsApp itu didedahkan pada perbicaraan sebelum ini melalui keterangan pegawai penyiasat forensik SPRM, Penolong Penguasa Wan Mohd Firdaus Wan Yusof.

Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS