Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam keganasan anti-Islam yang berlaku di beberapa tempat di India dan menggesa pihak berkuasa menghukum mereka yang menyasarkan komuniti itu.
"Amat bimbang dengan keganasan dan vandalisme yang menyasarkan komuniti Islam di beberapa negeri di India semasa perarakan Ram Navami termasuk tindakan membakar madrasah dan perpustakaan oleh kumpulan pelampau Hindu di Bihar Sharif pada 31 Mac 2023," menurut OIC.
Menurut pertubuhan 57 anggota itu, ia jelas memperlihatkan peningkatan Islamofobia.
Sekumpulan perusuh bertindak ganas semasa perarakan di bandar Bihar Sharif, kira-kira 70 kilometer dari Patna, ibu negeri Bihar untuk meraikan perayaan Hindu Ram Navami dengan membakar Madrasah Azizia yang berusia 110 tahun dan perpustakaan yang menempatkan 4,500 buku, menurut saksi.
Sejak beberapa hari lalu, insiden keganasan terhadap komuniti Islam dilaporkan berlaku termasuk di Bihar, Karnataka, Maharashtra, Benggala Barat dan Uttar Pradesh.
Bagaimanapun, kerajaan India membantah kenyataan OIC itu.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat OIC hari ini mengenai India. Ia satu contoh pemikiran komunal dan agenda anti-India," menurut kenyataan Kementerian Luar India pada Selasa.
- Bernama