Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengarah syarikat dituduh cuba sogok Annuar Musa RM7.5 juta

Seorang pengarah syarikat minta dibicarakan kerana didakwa menawarkan rasuah berjumlah RM7.5 juta sebagai dorongan untuk seorang menteri mempercepatkan cadangan penjualan saham dan pengambilalihan konsesi daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (Menara KL).

Pengarah Urusan Hydroshoppe Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, yang syarikatnya telah mengambil alih konsesi itu, didakwa menawarkan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada bekas menteri komunikasi dan multimedia Annuar Musa melalui pengarah MyCreative Ventures Tan Ser Lay.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM yang dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin, tawaran itu dibuat antara Julai dan Ogos tahun lalu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya.

Suzana menetapkan ikat jamin RM50,000 dan meminta Abdul Hamid melaporkan diri di ibu pejabat SPRM di Kuala Lumpur dua bulan sekali mulai Mei tahun ini sehingga perbicaraan selesai.

Dia juga diarah untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 2 Jun untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan menyiasat dakwaan berhubung penjualan saham yang mencurigakan dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara KL daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Telekom Malaysia (TM).

Secara berasingan di mahkamah berbeza, Hydroshoppe Sdn Bhd didakwa mengikut Seksyen 17(A)(1)(a) atas kesalahan yang sama dengan Abdul Hamid sebagai pengarah menuntut dibicarakan bagi pihak syarikat.

Majistret Rozina Ayob membenarkan ikat jamin RM50,000 berasingan dengan syarat sama seperti pertuduhan terdahulu.

Sebelum ini, TM berkata mereka memutuskan untuk tidak terus memegang konsesi menguruskan Menara KL bagi menumpukan kepada perniagaan terasnya iaitu perkhidmatan telekomunikasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS