Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pampasan: SME Ordnance diberi tempoh 2 minggu atau disaman

Sekumpulan bekas pekerja yang diberhentikan SME Ordnance Sdn Bhd (SME Ordnance) memberi tempoh dua minggu kepada syarikat pengeluar peluru itu untuk menjawab tuntutan mereka atau berdepan dengan tindakan mahkamah.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Industri Petroleum dan Kimia Semenanjung Malaysia (NUPCIW), Abdul Halim Mansor, yang mewakili pekerja terbabit berkata, mereka enggan lagi berunding selepas syarikat terbabit gagal membayar pampasan yang sepatutnya.

“Kami akan memberi tempoh 14 hari kepada syarikat (untuk menjawab) sebelum kami memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan menyaman syarikat itu untuk CBT (pecah amanah).

“Mereka masih berhutang pampasan pemberhentian sebanyak RM8 juta dengan 193 pekerja yang merupakan ahli kesatuan.

"Saya harap pemilik syarikat itu bersikap jujur dan tidak berselindung atau melarikan diri,” katanya kepada pemberita di Subang hari ini.

Abdul Halim Mansor

Terdahulu Abdul Halim mengetuai kira-kira 50 pekerja SME mengadakan piket aman di hadapan bangunan National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) di Lapangan Terbang Subang.

Piket itu bermula kira-kira 12.15 tengah hari.

Ia diperhatikan beberapa pegawai Jabatan Perhubungan Perindustrian Selangor, manakala anggota polis pula bertugas mengawal keadaan Bagaimanapun tiada wakil dari SME Ordnance hadir.

Abdul Halim berkata pekerja yang diberhentikan pada 1 Dis 2021 itu mendakwa caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mereka belum dibayar walaupun pada slip gaji tertera potongan dibuat.

Dah penat ‘mengemis’

Dalam piket yang diadakan pada Ramadan tahun lalu, Abdul Halim menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan wakil SME Ordnance yang bersetuju membayar pampasan secara bulanan.

Mengenang kembali MOU itu, Abdul Halim mengakui dia bersalah kerana bersetuju dengan terma yang ditetapkan selepas mengambil kira kebajikan majikan dan pekerja.

“Kami mengetahui keadaan kewangan syarikat yang berada dalam keadaan yang sangat teruk. Kami faham, jadi kami bersetuju untuk mereka membuat pembayaran bulan demi bulan.

"Jadi pekerja tidak menerima pampasan mereka secara sekali gus.

“Kami juga sebelum ini memfailkan tiga kes ke mahkamah buruh tetapi SME Ordnance membuat rayuan dengan kami dan meminta penyelesaian secara aman.

"Mereka berkata mereka berhasrat untuk membayar, jadi kami bersetuju dengan penyelesaian bersama," kata Abdul Halim hari ini.

SME Ordnance ialah anak syarikat Nadi. Kementerian Kewangan pula ialah pemegang saham Nadi.

Pada laman sewawangnya, SME Ordnance disifatkan sebagai sebuah syarikat pertahanan Malaysia yang pakar dalam pembuatan dan pemasaran senjata yang terletak di Batu Arang, Selangor.

SME Ordnance dahulunya dikenali sebagai Syarikat Malaysia Explosive Sdn Bhd.

Antara bekas pekerja yang hadir pada piket hari ini ialah Norul Azyan Ibrahim @ Mokhtar, 50, yang diberhentikan kerja bersama suaminya selepas bekerja sebagai operator dan penyelia selama hampir 30 tahun di situ.

Norul Azyan Ibrahim

“Mereka masih berhutang dengan kami berdua kira-kira RM180,000. Kami dah tak larat nak mengemis.

"Sekarang saya dan suami hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berhampiran rumah kami.

"Kami ada empat orang anak dan tiga lagi yang perlu dibesarkan sebab seorang dah berkahwin," katanya.

Menurut Norul Azyan, setakat ini baru empat kali mereka dibayar dan jumlahnya tidak mencecah RM20,000.

Jelas sebak menceritakan nasibnya dia berkata mereka tidak faham mengapa syarikat terbabit melayan mereka seperti pengemis.

Dalam keadaan begitu katanya ada antara mereka yang sakit, malah meninggal dunia.

"Saya sangat sedih sebab tak dapat apa yang dijanjikan kepada kami.

"Zalim sangat buat kami macam ini," katanya.

Bekas pekerja radiografer di syarikat itu selama 30 tahun, K Krishnakumar, mencari rezeki sebagai pengawal keselamatan namun sekarang diminta bercuti kerana menghidap arthritis.

“Kaki saya bengkak dan setiap rawatan ke hospital saya kena bayar RM450," katanya.

Menurut Krishnakumar, dia sepatutnya menerima pampasan RM80,000 tetapi setakat ini hanya RM15,000 dibayar.

"Dan kami hanya akan dibayar jika kami mengadakan piket,” keluhnya.

K Krishnakumar

Bapa kepada dua anak itu juga berkata keluarganya kini terpaksa bergantung kepada isterinya yang merupakan seorang tukang jahit untuk mencari nafkah.

“Pendapatan kami sekeluarga hanya RM1,500 dan ada empat mulut untuk disuap. Anak sulung saya berumur 18 tahun dan akan masuk kolej tidak lama lagi.

"Saya hanya berharap mereka dapat bayar semua hutang mereka kepada kami segera," katanya.

[Baca laporan penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS