Rang undang-undang untuk memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri dibentangkan untuk bacaan pertama pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said manakala bacaan kedua akan dibuat pada sesi akan datang, iaitu pada Mei.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas pembentangan tersebut, Azalina mencadangkan moratorium ke atas Seksyen 309 Kanun Keseksaan, sehingga semua pindaan untuk menyahjenayahkan cubaan bunuh diri diluluskan dan diwartakan.
“Cadangan moratorium kepada pelaksanaan seksyen 309 Kanun Keseksaan sehingga pemansuhan seksyen ini selesai dilaksanakan dan diwartakan dengan sewajarnya berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang berkaitan.
“Pelaksanaan perkara ini akan memudahkan urusan berkaitan penguatkuasaan dan pendakwaan,” katanya menurut satu kenyataan yang menjelaskan salah satu daripada empat dasar yang berkenaan RUU itu.
Menurut Seksyen 309 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa seseorang yang cuba membunuh diri berdepan hukuman penjara sehingga setahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu di Dewan Rakyat, Azalina membentangkan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 dan RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 di bagi memansuhkan kesalahan percubaan membunuh diri sebagai satu jenayah.
“Pemansuhan kesalahan percubaan bunuh diri adalah satu usaha oleh kerajaan Madani untuk mencegah kes bunuh diri dan turut diharap akan menggalakkan mereka yang terkesan tampil ke hadapan untuk mendapatkan bantuan, menghapuskan stigma terhadap perbuatan bunuh diri dan seterusnya menurunkan kadar kematian bunuh diri di Malaysia,” menurutnya.
Dalam kenyataannya itu, Azalina menjelaskan berkenaan pindaan kepada ketiga-tiga RUU berkenaan.
Menurutnya, RUU itu melibat beberapa dasar antaranya pemansuhan kesalahan percubaan membunuh diri di bawah seksyen 309 Kanun Keseksaan, di mana berdasarkan fakta, percubaan bunuh diri adalah dalam lingkup tingkah laku bunuh diri dan perbuatan itu merupakan impak daripada ketidakupayaan fikiran atau kecelaruan psikiatri.
“Mengekalkan kesalahan persubahatan membunuh diri di bawah seksyen-seksyen 305 dan 306 Kanun Keseksaan, memasukkan persubahatan perlakuan percubaan bunuh diri oleh mana-mana orang sebagai suatu kesalahan jenayah dan seterusnya dibezakan berdasarkan kategori orang yang dihasut untuk melakukan tindakan-tindakan yang berkaitan.
“Hukuman dicadang untuk diperkasakan dan ditingkatkan bagi kes bunuh diri yang melibatkan golongan kanak-kanak dan golongan kurang kapasiti mental (incapacitated persons) berbanding mangsa yang lain kerana golongan ini adalah terdedah kepada situasi dan 1 keadaan di mana mereka mudah dipengaruhi dan dimanipulasi (vulnerable groups) oleh pelaku,” katanya.
Hukuman yang dicadangkan untuk kesalahan kerana bersubahat dengan bunuh diri atau cubaan membunuh diri ialah penjara sehingga 20 tahun, serta denda.
Sementara itu, peranan Pegawai Intervensi Krisis (Crisis Intervention Officer) akan diwujudkan dan diberikan kuasa menangkap di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615).
Kerajaan sebelum ini telah membangkitkan isu menghapuskan jenayah cubaan membunuh diri sejak kerajaan pentadbiran Pakatan Harapan pada 2019.
Pada 2021, talian bantuan psikososial Kementerian Kesihatan menerima panggilan hampir lima kali lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
Dari Januari dan Disember 2021, talian bantuan berkenaan menerima 212,319 panggilan, berbanding tempoh yang sama pada 2020, yang menyaksikan talian bantuan menerima 44,061 panggilan.