Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Wan Saiful Wan Jan tampil membidas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung ketidakhadiran pemimpin utama pembangkang pada sidang Dewan Rakyat khususnya ketika sesi pertanyaan perdana menteri.
Sambil mempertahankan ketidakhadiran Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Wan Saiful berkata sesi pertanyaan perdana menteri perlu ditambahbaik.
"Untuk pengetahuan semua, sebenarnya semasa slot pertanyaan perdana menteri, hanya MP yang disebut oleh speaker saja boleh bertanya soalan. Yang lain-lain tak boleh bertanya apa-apa.
"Dan speaker hanya benarkan satu soalan tambahan daripada penyoal asal, serta satu lagi soalan tambahan dari pihak satu lagi.
"Maksudnya, kalau giliran saya tanya soalan asal, hanya saya saja dari sebelah PN boleh tanya satu soalan tambahan, dan hanya seorang lagi dari kerajaan boleh tanya satu soalan selepas soalan saya. MP lain tak boleh.
"Alangkah baiknya kalau sesi ini diperbaiki supaya jadi seperti PMQ Westminster yang mana ketua pembangkang wajib diberi slot untuk menyoal PM?" katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu dalam satu hantaran di Facebooknya Fahmi menzahirkan rasa kecewanya dengan membayangkan pembangkang tidak mengambil peluang dalam waktu pertanyaan perdana menteri (PMQ).
“Pagi ini YAB DS Anwar Ibrahim menjawab soalan mengenai hasil lawatan rasmi ke China; isu vape; dan isu doktor kontrak.
“YAB DS Zahid Hamidi dan YAB DS Fadillah Yusof hadir sekali.
“Malangnya, sekali lagi Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang tidak hadir dan tidak menanyakan soalan,” tulisnya pagi ini.
Dalam pada itu, Wan Saiful menyifatkan Fahmi telah memberi gambaran salah berhubung ketiadaan tiga pemimpin pembangkang itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain mendakwa perdana menteri pada sesi itu juga turut mengelak menjawab soalan yang dikemukakan.
"Jadi, janganlah beri gambaran seolah-olah dalam slot pertanyaan perdana menteri ini, ketua pembangkang atau ketua parti boleh turut serta dalam tanya soalan. Tak boleh pun sebenarnya. Jangan spin ke arah persepsi yang salah.
"Tambahan lagi, setakat saya lihat, perdana menteri banyak mengelak dari beri jawapan penuh atau perdana menteri tak tahu jawapan penuh. Banyak yang meleret-leret tanpa fakta tuntas. Ada masa sebut nama akta pun tak jelas. Ayat pun kadang kadang cacamerba.
"Jadi, sebenarnya yang perlu diberi perhatian ialah kualiti jawapan daripada perdana menteri. Kalau kualiti jawapan perdana menteri rendah, maka minat orang nak mendengar pun pasti rendah," katanya lagi.