Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fahmi: Malang Hamzah, Muhyiddin dan Hadi tak hadir parlimen
Diterbitkan:  Apr 4, 2023 12:26 PM
Dikemaskini: 4:50 AM
  • Dikemas kini dengan tambahan maklum balas dariapda pemimpin PN.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menzahirkan rasa kecewanya dengan membayangkan pembangkang tidak mengambil peluang dalam waktu pertanyaan perdana menteri (PMQ).

“Pagi ini YAB DS Anwar Ibrahim menjawab soalan mengenai hasil lawatan rasmi ke China; isu vape; dan isu doktor kontrak.

“YAB DS Zahid Hamidi dan YAB DS Fadillah Yusof hadir sekali.

“Malangnya, sekali lagi Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang tidak hadir dan tidak menanyakan soalan,” tulisnya di media sosial pagi ini.

Katanya, waktu pertanyaan perdana menteri setiap Selasa adalah peluang terbaik pembangkang untuk membangkitkan soalan, berdepan, dan bersemuka dengan Anwar.

Analisis terhadap rekod kedatangan Dewan Rakyat pada tahun lalu menunjukkan tiga pemimpin itu antara yang mencatatkan kehadiran paling buruk dalam pemantauan antara 26 Julai 2021 hingga 23 Mac 2022.

Ini bukan kali pertama Fahmi membangkitkan perkara itu dan berkongsi gambar tempat duduk kosong tiga pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) itu.

Minggu lepas dia telah membangkitkan perkara yang sama.

Selain itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail juga menyelar prestasi mereka di parlimen kerana tidak memanfaatkan sesi itu.

Dia yang juga setiausaha agung PKR mendakwa, perkara itu menggambarkan mereka cuma berlagak menjadi “hero” di luar parlimen tetapi tidak sanggup bertarung sebagai anak jantan.

"Belum pernah dalam sejarah parlimen, perdana menteri berdepan (wakil rakyat) pada Selasa selama 30 minit, kita panggil PMQ, ...ahli parlimen boleh tanya apa saja soalan, perdana menteri akan jawab," dia dipetik sebagai berkata.

Gambaran silap - Wan Saiful

Sementara itu, anggota parlimen PN Wan Saiful Wan Jan mendakwa Fahmi memberi gambaran yang silap mengenai sesi PMQT.

Wan Saiful Wan Jan

Katanya, hanya anggota parlimen yang disebut saja boleh bertanya soalan dan hanya satu soalan tambahan daripada penyoal asal, serta soalan tambahan dari pihak satu lagi dibenarkan. 

“MP lain tak boleh (tanya soalan),” katanya di media sosial.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS