Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
85 sekolah di Manjung ditutup kerana gangguan bekalan air

Sejumlah 85 sekolah di Manjung ditutup dan memohon cuti ganti hari ini berikutan gangguan bekalan air yang belum pulih di daerah itu sejak Jumaat lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata kesemua sekolah itu melibatkan enam kawasan di daerah tersebut.

"Di Ayer Tawar sahaja 34 sekolah terjejas, Sitiawan (19), seluruh Seri Manjung (18), seluruh Lekir ke Kayan dan Pangkor masing-masing lima serta Lumut empat sekolah melibatkan sekolah rendah, menengah dan jenis kebangsaan.

"Keputusan untuk menutup 85 sekolah hari ini adalah demi kebajikan dan kesihatan pelajar termasuk pendidik melalui permohonan cuti berganti dengan kelulusan Pendaftar Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak," katanya pada sidang media selepas Majlis Iftar Ramadan dan Tarawih anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak di Ipoh hari ini.

Sebanyak 79,360 akaun pengguna di Manjung dan Perak Tengah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual akibat paip air mentah bocor di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang, Bota sejak Jumaat lepas.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata pada masa ini kerja pembaikan sedang giat dijalankan oleh pihak kontraktor dan dijangka pulih sepenuhnya sebelum 8 April ini.

Sementara itu, Khairudin berkata JPN Perak amat prihatin dengan situasi ketiadaan air yang akan menyukarkan urusan seharian pelajar dan kakitangan sekolah.

"Mereka perlu ganti hari persekolahan hari ini kepada hari lain kecuali jika bilangan hari persekolahan cukup 190 hari ke atas, maka tidak perlu ganti.

“Seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan, setiap sekolah diberikan empat hari cuti peristiwa, jika tidak ambil, maka cukuplah 190 hari sesi persekolahan, jadi esok mereka akan teruskan sesi persekolahan seperti biasa," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS