Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anak dirogol, mati dikelar: Ibu mohon hukuman mati mandatori kekal
Diterbitkan:  Apr 3, 2023 4:13 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Tan Siew Ling yang berusia 60 tahun sebak, dengan terketar-ketar dia menuju ke rostrum tempat ahli parlimen mengadakan sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Sambil menahan air mata, dia meggenggam erat potret anak perempuannya Annie Kok Yin Cheng - yang dirogol dan dibunuh pada 2009.

“Anak saya dibunuh tahun 2009, dia berumur 17 tahun.

“Dia dirogol dan dibunuh, dia dibunuh (dikelar) di leher dan dia terus mati,” katanya sambil menahan sebak dan tidak mampu meneruskan ucapkannya pada sidang akhbar itu.

Tan Siew Ling

Tan adalah antara ahli kumpulan keluarga mangsa pembunuhan yang menentang keras sebarang usaha untuk memansuhkan hukuman mati mandatori - yang sedang dibahaskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

Kumpulan lain yang menentang rang undang-undang itu turut hadir pada sidang media berkenaan.

Mengambil alih daripada Tan, ialah Pengerusi Pembela Ummah Kedah, Noor Hakimi Abd Halim yang berkata, bahawa pemansuhan hukuman mati mandatori boleh membawa kepada pembunuhan membalas dendam.

Merujuk kepada satu kes yang mana seorang bapa kepada tiga anak yang mati dibunuh, katanya, lelaki itu memberi amaran bahawa dia akan membunuh individu yang bertanggungjawab atas kematian anak-anaknya jika dia dibebaskan.

Noor Hakimi Abd Halim

Menurut Noor Hakimi, pemansuhan hukuman mati mandatoti akan menjadikan pembunuh bertambah berani.

“Kalau hukumanan mati mandatori dimansuhkan, pembunuh akan rasa selamat dan tidak takut lagi untuk membunuh,” katanya.

Mengikut rang undang-undang pemansuhan hukuman mati mandatori, hakim diberikan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman gantung kepada mereka yang disabitkan kesalahan membunuh.

Bagaimanapun, hakim juga boleh memilih untuk menjatuhkan hukuman alternatif 30 hingga 40 tahun penjara dan sebatan.

Peguam Christina Teng bagaimanapun berhujah bahawa apabila hakim diberikan budi bicara, mereka sering memilih untuk tidak menjatuhkan hukuman mati.

Christina Teng

"Pembunuh akan dibebaskan dengan cara ini," katanya.

Bagi hukuman penjara alternatif, Teng berkata hukuman tersebut boleh dikurangkan sehingga satu pertiga jika banduan berkenaan berkelakuan baik.

“Seseorang pembunuh kejam yang telah merogol dan membunuh, atau merompak dan membunuh secara sengaja akan dibebaskan dengan cara ini, (penjara 30-40 tahun) bukanlah hukuman yang cukup serius untuk jenayah yang serius," katanya.

Teng dan kumpulan itu kemudian menyerahkan memorandum bantahan terhadap pemansuhan hukuman mati mandatori kepada ahli parlimen Perikatan Nasional Mas Ermieyati Samsuddin dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS