PARLIMEN | Persidangan Dewan Negara hari ini berlangsung dalam suasana sedikit emosi apabila para anggotanya berdiri selama dengan sebelah kaki selama satu minit sebagai tanda sokongan dan bersolidariti kepada senator Isaiah Jacob.
Terdahulu Isaiah - yang juga orang kurang upaya (OKU) yang kudung sebelah kaki - ketika mengakhiri ucapannya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) menyentuh soal kebajikan dan pemerkasaan golongan OKU.
Dia kemudian meminta semua ahli dewan berdiri bersamanya.
“Saya telah berdiri untuk sertai perbahasan ini selama 14 minit 15 saat, satu kaki, kami orang kuat upaya...
"Saya nak tutup dengan satu perkara: saya mohon semua YB (yang berhormat) termasuk yang dipertua.. berdiri selama satu minit, dengan satu kaki...terima kasih,” katanya.
Semua ahli Dewan Negara yang hadir kemudian bersama-sama berdiri sebagai tanda sokongan kepada Isaiah yang seterusnya mendapat perhatian Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Mohamad Ali Mohamad.
“Terima kasih YB Isaiah atas hujah diberikan, saya amat terasa dalam soal ini dan apa yang dibahaskan, semoga didengari pihak kementerian bertanggungjawab,” katanya.
Dalam ucapan perbahasannya, Isaiah yang memilih untuk menggunakan terma “golongan istimewa” bagi menggantikan istilah OKU mencadangkan supaya suatu jawatankuasa hal ehwal golongan terbabit diwujudkan dan diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Dia berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang ketika ini bertanggungjawab menjaga kebajikan warga istimewa dilihat mempunyai banyak kekangan kerana turut perlu memberi perhatian kepada golongan lain seperti ibu tunggal, pesakit selain mangsa kes kebakaran dan bencana.
“Apabila jawatankuasa ini ada, hal OKU mereka akan ambil alih daripada JKM, mereka akan pantau setiap lima tahun Akta OKU 2008 - yang dah 15 tahun - kita semak semula.
"Elaun OKU juga wajib diteliti, dinaikkan setiap dua tahun. Jadi saya mohon YB semua sokong penubuhannya.
“Kita juga harap golongan istimewa ini didaftarkan terus dalam kad pengenalan mereka, tak perlu daftar dengan JKM dan kad OKU ini, kerana ada sesetengah orang (bukan OKU) salah guna kad ini untuk dapatkan keistimewaan yang sepatutnya golongan istimewa ini dapat,” katanya.
Isaiah berkata dia sentiasa bersedia untuk membantu JKM dan JPM untuk merealisasikan cadangan itu demi memperkasa komuniti OKU di negara ini yang dilihat ketinggalan berbanding negara lain.
- Bernama