Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: Perlu rasional dalam politik, jangan manipulasi agama

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan parti pembangkang agar bersikap rasional dan tidak memanipulasi agama untuk kepentingan politik mereka.

Ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama rakyat petang tadi, Zahid menyindir pihak yang menggunakan istilah "sedekah" untuk memenangi pengundi.

"Walaupun wang diberikan itu tak dianggap sebagai termasuk hukum hudud, maka saya ingin menyeru pemimpin itu jangan main dengan fatwa, dengan al-Quran, hadis, dan ijmak ulama.

"Berada di gelanggang politik mesti denganrasional, bukan bermain agama dan manipulasi fatwa-fatwa untuk kepentingam sendiri.

"Manipulasi, tactical move yang dilakukan, menyebabkan Allah berikan pengajaran pada mereka, biarpun jumlah mereka lebih besar daripada kita peroleh, yang kecil jadi kerajaan, yang lebih jadi pembangkang. Itu hukuman Allah. Terimalah," katanya.

Zahid menyampaikan ucapan pada majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di program perumahan rakyat Seri Semarak di Setapak, Kuala Lumpur.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu, Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu dan PAS memperoleh 82 kerusi manakala Umno dan sekutunya dalam BN hanya berjaya memperoleh 30 kerusi.

Satu lagi blok politik Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi parlimen.

Memandangkan tiada blok yang mempunyai majoriti yang jelas, Yang di-Pertuan Agong al-Sultan Abdullah Ahmad Shah kemudiannya bertitah supaya parti-parti politik membentuk kerajaan perpaduan.

Ia menyaksikan PH kemudian membentuk pentadbiran persekutuan bersama BN, GPS Sarawak dan beberapa parti lain yang memenangi kerusi pada PRU15, manakala PN enggan menyertai kerajaan perpaduan dan berkata mereka akan menjadi pembangkang.

“Saya tidak mahu menamakan mana-mana parti atau individu di sini, tetapi saya cuma ingin mengingatkan diri sendiri, kita pernah ditindas, dihina dan macam-macam tuduhan dilemparkan kepada kita.

“Tetapi atas kesabaran dan ketabahan, kebenaran akhirnya terserlah,” katanya.

Kerajaan perpaduan Melaka

Sementara itu, Zahid memberitahu pemberita bahawa dia telah menerima kunjungan ketua menteri Melaka yang baru Rauf Ab Yusoh, dan dibentangkan senarai barisan exco baru kerajaan negeri.

Zahid berkata barisan baru itu juga akan merangkumi wakil parti lain yang membentuk kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan. Zahid bagaimanapun tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut.

Menurut presiden Umno itu, Rauf juga bercadang untuk melantik beberapa timbalan exco bagi beberapa portfolio.

Zahid bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut, termasuk sama ada exco kerajaan negeri akan lebih besar daripada sebelum ini.

“Walaupun BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN pada pilihan raya negeri lalu, bermakna kita mempunyai lebih dua pertiga majoriti dalam dewan undangan negeri, kita akan berkongsi dengan sekutu kita dalam kerajaan perpaduan.

“Ini berdasarkan semangat perpaduan kita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS