Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shuhaily dilantik ketua polis KL
Diterbitkan:  Apr 2, 2023 3:56 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Ketua Polis Pulau Pinang Shuhaily Mohd Zain akan mengambil alih tugas sebagai ketua polis Kuala Lumpur yang baru, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin dipetik Sinar Harian berkata, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) pada Jumaat lalu.

Menurutnya, Shuhaily menggantikan tempat Azmi Abu Kassim yang telah diumumkan sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman yang baru.

"Justeru SPP telah memutuskan Mohd Shuhaily bagi mengisi jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Saifuddin berkata perubahan jawatan berkenaan adalah sebahagian daripada pertukaran beberapa jawatan penting yang diputuskan dalam mesyuarat SPP.

"Pengumuman lanjut melibatkan pertukaran beberapa jawatan Ketua Polis Negeri akan dibuat oleh Urusetia Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat," katanya.

Pelantikan lain yang akan diumumkan dalam masa terdekat termasuk jawatan pengarah jabatan siasatan jenayah narkotik Bukit Aman.

Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Ayob Khan Mydin Pitchay.

Pada 28 Mac lalu, Ayob dilantik sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan pelantikan itu berkuat kuasa pada 16 April ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS