Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memutuskan untuk mengekalkan harga siling ayam dan telur sehingga selepas perayaan Aidilfitri.
Menterinya Salahuddin Ayub berkata pihaknya juga memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur mencukupi serta dijual mengikut harga siling yang telah ditetapkan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.
Beliau berkata KPDN juga akan melakukan pemantauan setiap hari sepanjang Ramadan ini, bagi memastikan tiada isu kenaikan harga berlaku.
“Kerajaan tidak bercadang untuk mengangkat (naikkan) harga siling, ini kita telah putuskan dalam Kabinet.
“Pasukan KPDN dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) juga telah mengadakan libat urus, dan setakat ini kita memberikan jaminan bekalan (ayam dan telur) mencukupi dan ia dijual pada harga siling yang telahpun ditetapkan,” katanya pada pemberita selepas mengadakan walk about Jualan dan Pakej Barangan Rahmah di pasar raya Hwa Thai, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada KPDN melihat harga siling bagi ayam dan telur akan dinaikkan.
-- LAGI
SALAHUDDIN-HARGA SILING 2 (AKHIR) JOHOR BAHRU
Salahuddin berkata pemain industri juga telah memberi jaminan dan menyatakan kesediaan mereka untuk membuat lebihan pengeluaran ayam dan telur pada bulan Ramadan berikutan peningkatan permintaan.
“Saya diberitahu bahawa bekalan (telur dan ayam) akan meningkat pada Ramadan dan Aidilftiri, saya juga telah berjumpa dengan pemain industri dan mereka memberikan jaminan dan bersedia untuk membuat lebihan pengeluaran, jadi itu satu jaminan yang diberikan kepada KPDN,” katanya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini berkata harga siling runcit semasa bagi ayam standard adalah RM9.40 sekilogram, manakala harga siling runcit telur bagi Gred A pada 45 sen sebiji, Gred B (43 sen sebiji) dan Gred C (41 sen sebiji), masing-masing di Semenanjung, sementara Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum bagi kedua-dua makanan itu adalah berbeza mengikut zon dan daerah.
Mohamad Sabu juga dipetik sebagai berkata harga ayam dan telur dijangka diapungkan selepas Jun ini dalam usaha kerajaan memastikan masalah kekurangan bekalan makanan itu dapat diatasi.
- Bernama