Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan perpaduan di Melaka? Rauf mahu rujuk Zahid

Ketua menteri Melaka yang baru dilantik Abdul Rauf Yusoh hari ini berkata dia perlu berunding dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu untuk membentuk kerajaan perpaduan di negeri itu.

Bercakap pada sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah jawatan itu petang ini, Rauf berkata ini termasuk sama ada untuk memasukkan wakil Pakatan Harapan (PH) dalam barisan exco negeri yang baru.

“Saya akan merujuk pada presiden saya dulu untuk pastikan apakah hala tujunya dan saya akan ambil petua tersebut untuk merangka exco kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di pejabat kerajaan negeri Melaka di Ayer Keroh.

Rauf menjawab beberapa soalan mengenai rancangannya untuk negeri itu dan sama ada Melaka akan menyaksikan kerajaan perpaduan antara Umno dan PH seperti di peringkat persekutuan atau tidak.

Adun Tanjung Bidara itu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam kira-kira 3.30 petang hari ini.

Rauf, yang merupakan ketua Umno Melaka, menggantikan Sulaiman Md Ali yang meletak jawatan awal minggu ini.

Terdahulu semasa sidang media, Rauf membayangkan akan mencontohi kerajaan persekutuan seperti yang dibayangkan Zahid pada Selasa.

"Saya yakin dengan kerjasama semua pihak yang bersama-sama di bawah kerajaan perpaduan, kita akan melihat kerajaan perpaduan terbentuk di Melaka seperti yang disarankan oleh presiden (Zahid)," katanya.

Menurut Rauf, dia bercadang mengekalkan jumlah portfolio dalam exco kerajaan negeri Melaka sebanyak 10 orang.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas sama ada akan melantik semula mana-mana ahli majlis yang sebelum ini dilantik di bawah pimpinan Sulaiman.

Rauf menjangkakan untuk membuat keputusan mengenai barisan baru exco dalam tempoh 48 jam.

“Kita tidak boleh melengahkan perkara ini, kerana kerajaan negeri perlu berjalan,” katanya.

Mengenai rancangannya untuk negeri itu, Rauf memberitahu pemberita bahawa dia mahu menjadikan Melaka sebagai negeri yang mesra perniagaan dan pelabur.

Dia juga menyeru semua Adun di Melaka dan anggota perkhidmatan awam untuk bekerjasama dengannya untuk membawa negeri itu ke hadapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS