Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Sabu jawab Sanusi: If tak pasti don't kongsi
Diterbitkan:  Mar 30, 2023 10:03 PM
Dikemaskini: 2:03 PM

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu malam ini berasa "pelik" dengan dakwaan dibuat Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengenai sewaan dewan untuk majlis berbuka puasa.

Kata Mohamad bagaimana Sanusi boleh mendakwa sewaan yang dibuat pemimpin PAS terbabit dibatalkan ketika belum ada sebarang pengesahan mengenainya dikeluarkan.

Menurut Mohamad pihak pengurusan dewan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang belum mengeluarkan sebarang surat persetujuan menerima tempahan berkenaan.

"Sebut harga pun belum keluar," tambah presiden Amanah itu.

Sanusi pada hari ini mendakwa dia terus dihalang oleh kerajaan untuk mengadakan program selepas rancangan mengadakan majlis berbuka puasa dengan anak Kedah di perantauan pada 9 April ini ditarik balik.

Semalam Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu mendakwa dia disekat daripada menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (Lima) di Langkawi.

Kata Mohamad dia juga musykil bagaimana Sanusi dan PAS boleh menyebarkan poster mengenai majlis berbuka puasa berkenaan sebelum lokasinya disahkan.

"Biasanya kalau dah pasti baru kongsi," kata Mohamad.

Muhammad Sanusi Md Nor

Sebenarnya tambah ahli parlimen Kota Raja itu, tiada masalah untuk Sanusi mengadakan program tersebut di MAEPS jika ia berlangsung seperti didijadualkan.

"Oleh kerana YAB (Sanusi) dah kata program Anak Kedah akan dibuat di tempat lain, kami kira tak jadilah noo.

If tak pasti, please don’t kongsi,” cuit Mohamad.

Kalau dakwaan benar

Sementara itu Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menafikan terdapat surat rasmi atau pekeliling yang melarang Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menghadiri sebarang acara rasmi kerajaan persekutuan.

“Saya tidak pernah mendengar adanya arahan untuk beliau (tidak boleh) menghadiri mana-mana majlis rasmi anjuran kerajaan persekutuan, melainkan jika arahan itu dikeluarkan kepada beliau secara peribadi, saya tidak mengetahui mengenai perkara itu.

“Tiada (surat atau pekeliling).

“Kalau dakwaan itu benar, mungkin Menteri Besar Kedah boleh menyebarkan arahan atau pekeliling untuk (yang menyebut) melarang beliau menghadiri mana-mana majlis kerajaan Persekutuan,” katanya.

Ahmad Zahid Hamidi

Ahmad Zahid berkata demikian pada majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik, di Muar hari ini.

Terdahulu dia ditanya pemberita mengenai dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri mengenai perkara tersebut.

Sebelum ini Muhammad Sanusi menerusi Facebook rasminya mendakwa dia dilarang menghadiri majlis rasmi kerajaan persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (Lima '23) pada 23 hingga 27 Mei ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS