Presiden Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman mempersoalkan tindakan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam tidak membenarkan sesi dialog yang dijadualkan berlangsung di universiti itu malam ini.
Syed Saddiq berkata, universiti itu cuba menghalang dialog bertajuk “Intern Bukan Buruh Paksa”, yang dianjurkan Mahasiswa Demokratik Malaysia.
Bagaimanapun, ahli parlimen Muar itu berkata dia tetap akan hadir ke UiTM untuk berdialog bersama pelajar universiti berkenaan yang dijadual 10 malam ini.
Bercakap pada sidang media di parlimen hari ini, Syed Saddiq berkata timbalan naib canselor universiti itu pada 28 Mac lalu memaklumkan UITM tidak meluluskan program dialog itu dengan alasan menjaga keharmonian dalam kampus.
"Sejak bila saya masuk kampus untuk menghuru harakan kampus, hubungan saya dengan UiTM sangat akrab sekali," katanya.
Syed Saddiq berkata tahun lepas ketika berada di kerusi pembangkang, dia dibenarkan memasuki universiti untuk mengadakan dialog dengan mahasiswa.
"Pada tahun lepas suku, ketiga dekat pilihan raya, saya diberikan hak untuk masuk ke Universiti Malaya, tidak pula ada yang menghalang saya.
"Yang peliknya saya dibenar untuk berucap bila saya berada dalam pembangkang, tapi bila dalam kerajaan pula tak boleh, sebab diberikan (alasan) nak mengekalkan keharmonian, minta maaf ini tak masuk akal dan bertentangan dengan prinsip kerajaan madani," katanya.
Katanya lagi, lebih pelik, tular mesej di WhatsApp mengatakan pintu pagar Kolej Melati akan ditutup dari jam 9 malam hingga 6 pagi esok atas masalah teknikal.
"Saya sebagai ahli parlimen menuntut, jelaskan apa masalah teknikal sampai nak memenjarakan (pelajar) tak boleh keluar (untuk hadir dialog berkenaan)," katanya.
Mahasiswa Demokratik di laman Twitternya berkata, UITM memaklumkan penutupan pintu pagar kolej pada jam 9 malam ini dilakukan atas ‘masalah teknikal’.
Dalam satu kenyataan Mahasiswa Demokratik berkata penutupan pintu pagar kolej itu bercanggah dengan pekeliling pada 20 Mac yang membenarkan pelajar keluar masuk universiti itu sehingga 2 pagi dalam bulan Ramadan.
Semakan Malaysiakini mendapati isu teknikal yang melibatkan Kolej Melati diselesaikan pada jam 1 tengah hari tadi, menurut mesej yang dihantar kepada kumpulan Telegram penghuni kolej.
Sementara itu, satu pekeliling yang dikatakan ditujukan kepada semua pelajar di fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM turut dimuat naik menerusi Twitter Mahasiswa Demokratik.
Dalam pekeliling yang dilihat oleh Malaysiakini, dekan fakulti itu berkata pelajar hanya dibenarkan menyertai program yang diluluskan oleh universiti.
“Semua pelajar diminta agar tidak terlibat dalam penganjuran program jelajah Mansuh Auku dan Dialo Intern Bukan Buruh Percuma di Dataran Cendekiawan, UiTM Shah Alam yang akan diadakan pada 30 Mac 2023 jam 10.00 malam memandangkan program ini belum mendapat kelulusan daripada pihak universiti.
“Sesungguhnya sebarang penganjuran atau penglibatan dalam mana-mana program, termasuk yang berkaitan politik dalam kampus adalah dibenarkan setelah mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Universiti.
“Dalam hal ini, pihak fakulti tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang akibat pelanggaran yang memungkinkan satu tindakan tatatertib diambil kepada pelajar yang terlibat,” menurut perkeliling yang dikeluarkan dekan universiti berkenaan, Prof Madya Dr Nor Hafizah Mohamed Harith.
Nor Hafizah bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika dihubungi Malaysiakini.