Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Gara-gara gagal mengikut arahan agar duduk kembali di tempatnya, Che Zulkifly Jusoh (PN-Besut) diarah keluar dari Dewan Rakyat hari ini.

Tidak cukup dengan itu dia juga digantung daripada memasuki Dewan Rakyat selama tiga hari.

Sebelum itu Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor mengarahkan Che Zulkifly duduk di tempatnya sebanyak tiga kali ketika timbul sedikit kekecohan di yang melibatkan pembangkang dan wakil kerajaan.

Bekas ahli parlimen Umno bagi penggal 2013-2018 sebelum bertanding sebagai calon PN dalam PRU lalu terlibat dalam pertikaman lidah di antara Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ramkarpal Singh.

Tindakan dia mencelah dalam pertikaian tersebut dan enggan mematuhi arahan Ramli akhirnya dikenakan tindakan penggantungan berkenaan.

Bagaimanapun bekas hakim mahkamah sesyen itu jelas tidak berpuas hati dengan hukuman tersebut.

"Saya dah duduk dah, kenapa keputusan (dibuat) selepas (itu)?" katanya.

Dia hanya akur selepas Ramli meminta bentara Dewan Rakyat mengiringi Che Zulkifly keluar.

Terdahulu, selepas tamat sesi waktu pertanyaan lisan, Takiyuddin yang merupakan ketua whip PN bangun dan membangkitkan isu penggunaan perkataan bahasa Inggeris dalam dua rang undang-undang yang akan dibentangkan hari ini.

Isu yang menjadi persoalan ialah penggunaan perkataan stalking yang didakwa pembangkang boleh saja merujuk kepada amalan mengendap atau 'skodeng’.

Disahkan Masjid Tanah

Setiausaha Agung PAS itu menyifatkan bahawa tindakan merupakan satu perkara yang tidak teratur dalam amalan dewan dan meminta supaya ia diberikan perhatian.

“Saya tak jangka kerajaan Madani ini ingin mengubah dasar… di bawah dasar rasminya bukan lagi bahasa Malaysia?

"Saya tak bayangkan begitu kerana PMX kita (Anwar) adalah pejuang bahasa Malaysia yang tersohor dalam seantero dunia ni,” katanya.

Kenyataan tersebut mengundang suasana panas apabila blok pembangkang dan kerajaan saling berdiri untuk mencelah.

Keadaan menjadi lebih menarik apabila Ramli memberi ruang kepada Ramkarpal membuat penjelasan.

Ramkarpal Singh

Menurut Ramkarpal (PH-Bukit Gelugor) penggunaan teks berbahasa Inggeris dalam RUU bagi meminda akta bukanlah perkara baru malah ia pernah terjadi sewaktu kerajaan PN dulu.

Katanya ketika membawa RUU yang sama Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang ketika itu berkhidmat sebagai timbalan menteri di JPM juga menggunakan perkataan stalking.

Malah Ramkarpal membacakan kenyataan Mas Ermieyati berdasarkan hansard parlimen bertarikh 3 Okt 2022.

Ia kemudian disahkan oleh Mas Ermieyati.

Pun begitu Takiyuddin berkata tindakan kerajaan PN ketika itu diteruskan kerana pembangkang tidak membantahnya.

"Walaupun Masjid Tanah (Mas Ermieyati) membentangkan peruntukan yang sama dalam bahasa Inggeris, pada masa itu pihak pembangkang tak ada bantahan. Justeru ia dianggap diterima," katanya.

Ramli kemudian menjelaskan sepanjang sejarah persidangan parlimen di negara ini, belum terdapat pembetulan (rectification) agar undang-undang menetapkan ia digunakan dalam bahasa Melayu sahaja.

Amendment (pindaan) perlembagaan itu perlu dibuat.

“….tapi ini berdasarkan pemahaman saya, selagi parlimen ini tak pinda Perlembagaan Persekutuan ini, selagi itulah bahasa Inggeris boleh digunakan dalam parlimen ini.

“Terpulang pada ahli-ahli parlimen. Ia memerlukan dua per tiga untuk pinda perlembagaan ini untuk secara total menggunakan hanya bahasa Melayu,” katanya.

Mas Ermieyati Samsudin

Sementara itu, Che Zulkifly dalam sidang medianya hari ini berkata meskipun ia kemungkinan terdapat masalah teknikal, kerajaan perlu peka bahawa tidak semua rakyat Malaysia memahami bahasa Inggeris.

“Kerajaan yang sedia ada, saya tak tahu apa agendanya… kenapa tidak boleh ditarik balik, dibentangkan semula dan dibahaskan.

“Kalau rakyat baca dalam bahasa Inggeris dan tidak faham, mereka tak tahu hak-hak mereka di sudut undang-undang,” katanya yang merujuk kepada perkara yang melibatkan RUU baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS