Apabila Md Zan Sulaiman yang berusia 70 tahun membuka paip air di rumahnya berhampiran Tasik Chini di Pekan, Pahang - wajah sedihnya menceritakan segalanya.
Ini mungkin kali ke-100 dia mencuba paip tersebut dalam sebulan, tetapi seperti biasa, tiada air keluar.
"Tiada satu titik air pun. Tiada bunyi tekanan udara daripada paip di rumah saya," katanya kepada Malaysiakini seminggu yang lalu.
Zan adalah salah seorang penduduk Kampung Gumum yang mengalami masalah air di kampung Orang Asli tersebut.
Penduduk kampung tersebut telah biasa dengan bekalan air bersih yang tenggelam timbul sejak beberapa tahun lalu, terutama disebabkan masalah tekanan air. Malah masalah ini menjadi lebih teruk dalam dua bulan terakhir.
Menurut pesara tersebut, ia membebankan penduduk kampung yang terpaksa bergantung kepada trak air yang dihantar oleh pihak berkuasa air negeri setiap hari.
Zan mengatakan ramai keluarga terpaksa menunggu trak datang setiap hari dan mengisi tangki di tepi jalan utama kampung.
Ada juga yang memiliki tong air sendiri yang mereka letakkan di tepi jalan luar rumah untuk diisi oleh pekerja syarikat air.
Bagi yang tiada tong, mereka terpaksa berjalan sedikit ke tangki sementara yang terdekat.
Walaupun bekalan air datang setiap hari, air tidak pernah mencukupi, terutamanya untuk isi rumah besar.
"Kadang-kadang, apabila air yang diambil habis, saya akan pergi ke surau atau ke rumah anak saya di kampung berdekatan untuk mendapatkan air, kerana mereka mempunyai stesen pam air yang dibina oleh NGO.
"Kehidupan kami menjadi susah sejak paip air betul-betul kering. Setiap hari kami terpaksa membawa air ke dalam rumah," tambahnya.
Zan mengatakan masalah air juga menyebabkannya kehilangan mesin basuh dan penyedia air yang rosak.
"Ketika saya ingin mengadakan majlis perkahwinan anak perempuan saya beberapa bulan yang lalu, pihak berkuasa air meminta saya membeli air untuk majlis tersebut.
"Saya berkata kepada mereka bahawa tidak apa-apa, saya akan bayar untuk air yang saya perlukan,” katanya.
Perasaan Zan itu dikongsi oleh jirannya, Nor Laila Roslan yang tinggal bersama suami dan tiga anak.
Wanita 39 tahun, yang dilahirkan dan dibesarkan di kampung tersebut, mengatakan bekalan harian yang dihantar oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) hampir tidak mencukupi untuk keluarganya, terutama semasa hari sekolah.
"Kami bergantung pada satu tangki untuk segala-galanya - dari mandi, membersihkan, mencuci pakaian, memasak dan minum," katanya.
Seperti ramai penduduk kampung lain, dia juga perlu menunggu tangki air tiba dan membawa air ke rumahnya.
"Ini rutin harian saya. Untuk mandikan anak-anak dan cuci pakaian, saya boleh lakukan di sini (di tangki di luar rumah saya), tetapi untuk perkara lain, saya masih perlu bawa air ke dalam," tambahnya.
Julai tahun lalu, Malaysiakini melaporkan penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan Tasik Chini menghadapi masalah air walaupun mereka tinggal bersebelahan dengan tasik air tawar semula jadi kedua terbesar di Semenanjung Malaysia.
Air tasik itu dianggap tidak selamat untuk diminum susulan pencemaran dalam beberapa tahun terakhir.
Menurut ramai penduduk Orang Asli Tasik Chini yang ditemui Malaysiakini minggu lalu, pihak berkuasa kesihatan menasihatkan mereka supaya tidak menggunakan air tasik untuk minum dan mandi.
"Kami hanya boleh menggunakan air tasik untuk mencuci pakaian. Saya tidak berani minum, sangat kotor. Kami boleh dapat sakit perut," kata seorang penduduk Kampung Tanjung Puput yang hanya dikenali sebagai Noriani, 27 tahun.
Pembaikan berperingkat
Malaysiakini difahamkan bahawa masalah air ini berkaitan dengan masalah lama yang berterusan susulan pam air yang selalu rosak dan paip pecah.
Dalam laporan tahun lepas, seorang pegawai Paip berkata terdapat rancangan untuk menggantikan paip lama dan mereka berharap menyelesaikan masalah itu menjelang akhir tahun tersebut.
Wakil rakyat Chini, Mohd Sharim Md Zain, ketika dihubungi, berkata dia telah bermesyuarat dengan penduduk kampung dan wakil kerajaan negeri.
Ia turut disertai oleh exco Pahang yang bertanggungjawab atas portfolio Kerja raya, pengangkutan dan kesihatan Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta pegawai Paip.
"Kami telah bincang masalah ini. Paip akan terus membawa air ke kampung sehingga bekalan air pulih semula.
"Menurut Paip, mereka kini mempunyai bajet untuk menukar injap pam air dan akan melakukan apa yang perlu dalam tempoh beberapa minggu akan datang," katanya kepada Malaysiakini.
Pengurus Paip Pekan, Muhamad Faiz Abu Zaki berkata mereka telah mengambil beberapa tindakan untuk menangani masalah itu.
Antara tindakan yang diambil, katanya, memasang sistem telemetri di tangki air untuk Kampung Gumum, dan menukar panel kawalan pam.
Tindakan itu dibuat untuk memisahkan pam yang membekalkan air kepada kampung dan pusat penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak berdekatan.
"Untuk langkah tambahan, kami juga akan memasang butterfly valve (injap kupu-kupu) di salah satu tangki untuk meningkatkan pengaliran air ke Stesen Pam Gumum. “Kami harap dengan tindakan ini, dan jika semuanya berjalan mengikut perancangan, bekalan air ke Kampung Gumum boleh dipulihkan secara berperingkat," katanya kepada Malaysiakini.
Paip juga merancang untuk menggantikan paip sedia ada dengan paip baru mild steel cement lining pipe, tambahnya.