Semasa Md Zan Sulaiman, 70, membuka paip di rumahnya berhampiran Tasik Chini di Pekan, Pahang - raut wajahnya menceritakan semuanya.
Ia mungkin kali ke-100 dia membuka paip pada bulan lalu, tetapi seperti lazimnya, tiada air yang mengalir keluar.
"Tiada setitik air pun. Malah, bunyi tekanan udara dari paip di rumah saya pun tak ada," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui kira-kira seminggu lalu.
Zan adalah antara penduduk di Kampung Gumum yang menghadapi masalah air di perkampungan Orang Asli.
Sebelum ini, penduduk kampung agak lali dengan masalah bekalan air bersih mereka yang sering terganggu selama beberapa tahun, terutamanya akibat isu tekanan air yang rendah, tetapi masalah itu bertambah buruk sejak dua bulan lalu.
Menurut pesara itu, penduduk kampung kini terpaksa bergantung kepada lori tangki air, yang dihantar oleh pihak berkuasa air negeri setiap hari.
Zan berkata, ramai keluarga terpaksa menunggu lori datang setiap hari untuk mendapatkan bekalan air mereka.
Ada yang mempunyai tong air sendiri yang diletakkan di luar rumah mereka untuk diisi oleh pekerja syarikat air.
Bagi mereka yang tidak mempunyai tong air, mereka terpaksa berjalan agak jauh ke lori tangki air sementara terdekat.
Walaupun dengan bekalan yang dihantar setiap hari, namun bekalan air tidak pernah mencukupi, terutamanya untuk isi rumah yang besar.
“Kadang-kadang, apabila air tadahan habis, saya akan ke surau atau ke rumah anak perempuan saya di kampung berhampiran untuk mendapatkan air, kerana di sana ada stesen pam air yang dibina oleh NGO.
"Hidup kami susah sejak paip kering sepenuhnya. Setiap hari kami terpaksa angkut air ke dalam rumah," tambahnya.
Zan berkata, isu air itu turut menyebabkan mesin basuh dan mesin air minumannya rosak.
“Semasa mahu buat majlis kenduri perkahwinan anak saya beberapa bulan lalu, pihak berkuasa air meminta saya membeli air untuk majlis itu.
"Saya beritahu mereka tidak mengapa, saya akan bayar air yang saya perlukan. Tetapi saya tanya mereka, 'Saya ada paip air di rumah, patutkah saya hantar paip itu ke muzium?'"
Perasaan Zan turut dikongsi jirannya Nor Laila Roslan yang tinggal bersama suami dan tiga anaknya.
Wanita berusia 39 tahun itu yang dilahirkan dan dibesarkan di kampung berkenaan berkata bekalan harian yang dihantar oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) langsung tidak mencukupi untuk keluarganya terutama ketika musim persekolahan.
"Kami terpaksa bergantung kepada satu tangki untuk segala-galanya - mandi, mencuci, membasuh pakaian, memasak dan untuk minum," katanya.
Seperti kebanyakan penduduk kampung lain, dia juga perlu menunggu kedatangan lori tangki air dan kemudian mengangkut air ke rumahnya.
"Ini tugas harian saya. Untuk mandikan anak-anak dan cuci pakaian, saya boleh buat di sini (di tangki di luar rumah), tetapi yang lain, kena bawa air masuk," tambahnya.
Pada Julai tahun lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa penduduk kampung Orang Asli yang tinggal berhampiran Tasik Chini menghadapi masalah air walaupun mereka tinggal betul-betul bersebelahan tasik air tawar semula jadi kedua terbesar di Semenanjung Malaysia.
Ini disebabkan air tasik itu dianggap tidak selamat untuk digunakan kerana pencemaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut ramai Orang Asli Tasik Chini yang ditemui Malaysiakini minggu lalu, pihak berkuasa kesihatan menasihatkan mereka supaya tidak menggunakan air tasik untuk tujuan minum dan mandi.
"Kami hanya boleh menggunakan air tasik untuk basuh pakaian. Saya tidak berani minum, air sangat kotor. Boleh sakit perut," kata seorang penduduk Kampung Tanjung Puput yang hanya dikenali sebagai Noriani, 27.