Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jomo: CEP tidak keluarkan laporan mengenai ekonomi negara

Anggota Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) semasa pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini tidak mengeluarkan laporan mengenai dasar ekonomi dan kewangan, dedah Jomo Kwame Sundaram.

Jomo, yang merupakan antara anggota CEP, berkata majlis itu tidak menyediakan laporan sedemikian.

“Kami diberi 100 hari. Laporan itu disediakan oleh sekretariat di bawah Daim (Zainuddin). Tetapi tiada laporan daripada keseluruhan anggota CEP.

“Ada satu lagi laporan oleh jawatankuasa (terdiri daripada) lima peguam mengenai pembaharuan undang-undang. Itu mungkin laporan yang menarik,” katanya.

Jomo Kwame Sundaram

Pakar ekonomi terkemuka itu berkata demikian dalam forum dalam talian bertajuk "Malaysia’s future in a fractured world” atau “Masa depan Malaysia dalam dunia yang retak" anjuran The Oxford and Cambridge Society Malaysia di YouTube malam tadi.

Dia berkata demikian ketika menjawab permintaan penonton untuk mendedahkan intipati laporan tersebut yang tidak pernah dikeluarkan.

Sepanjang tempoh 100 hari mandatnya, CEP menemu bual kira-kira 350 orang daripada 200 organisasi - kebanyakan mereka daripada kerajaan atau GLC - untuk membantu merumuskan laporan mengenai dasar ekonomi dan kewangan untuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Laporan tersebut kemudiannya diserahkan pada penghujung penggal CEP.

Pembentukan CEP pada 12 Mei 2018, adalah antara tindakan awal Mahathir sebagai perdana menteri ketika itu.

Selain Jomo dan Daim, majlis lima anggota itu dianggotai oleh bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden Petronas Mohd Hassan Marican, dan taikun Robert Kuok.

Jomo berkata semasa bersama CEP, dia mendesak supaya beberapa pembaharuan dilaksanakan, antaranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Daripada memansuhkan GST pada masa itu, dia berkata dirinya mencadangkan pihak berkuasa mengenakan cukai bersepadu, bukannya cukai bersegmen.

“Ia adalah untuk mengurangkan sifat regresif GST, melalui beberapa pembaharuan khusus.

“Ketua Kastam ketika itu sangat terbuka dengan reformasi ini.

"Malangnya, menteri pada masa itu, dan mungkin perdana menteri tidak pernah mempertimbangkan reformasi ini, sepanjang pengetahuan saya," katanya, sambil menambah bahawa tiada perbincangan mengenai perkara itu diadakan.

Selain itu, dia juga menggesa pembaharuan di sektor kesihatan bagi menambah baik sektor pembiayaan kesihatan.

Katanya, dia gembira apabila bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin tahun lalu mengumumkan bahawa perbelanjaan penjagaan kesihatan awam negara akan dinaikkan kepada lima peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang akhir 2022.

“Tetapi seperti yang kita tahu, tiada apa yang berlaku. Ia tidak dicerminkan dalam bajet yang dibentangkan sebelum pembubaran Parlimen.

“Malah sekarang pun, kita tidak nampak sebarang komitmen daripada kerajaan untuk meningkatkan pembiayaan kesihatan,” kata Jomo.

Ditanya mengenai masa depan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila begitu ramai pencarum yang tinggal dengan begitu sedikit wang untuk persaraan mereka, Jomo berkata dana pencen itu telah menjadi "bola sepak politik".

“Pemimpin Umno dan yang lain pada dasarnya telah berusaha keras sejak beberapa tahun ini untuk membolehkan rakyat mengeluarkan wang sebanyak mungkin…

“Saya khuatir mereka yang berusia akan mempunyai pilihan yang sangat sedikit selain terus bekerja selagi mampu, namun ini mungkin tidak semestinya menjadi perkara yang tidak baik untuk kita terus bekerja dengan lebih lama.

"Tetapi memandangkan tidak semua yang sentiasa sihat, jadi ini membimbangkan saya,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS