Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar tidak sepatut ke Arab Saudi tanpa janji temu - KJ
Diterbitkan:  Mar 28, 2023 8:54 AM
Dikemaskini: 1:02 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya ke Arab Saudi tanpa janji temu yang ditetapkan untuk perjumpaan dengan Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed Salman Al Saud, kata bekas menteri, Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, ini lebih-lebih lagi kerana jadual di Arab Saudi lazimnya adalah haywire (kelam kabut) pada minggu pertama bulan Ramadan.

“Saya sudah lama terlibat mengatur perjalanan ke luar negara termasuk program perdana menteri, dan saya tahu kita tidak boleh pergi jika program itu tidak dimuktamadkan.

“Berkenaan dengan budaya di Arab Saudi, dia (tetamu) tidak akan pergi minggu pertama Ramadan. Sebab minggu pertama Ramadan ni memang jadual-jadual haywire

“Tak boleh minit terakhir buat janji temu,” katanya semasa bercakap di podcast 'Keluar Sekejap' bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan semalam.

Sambil menyifatkan apa yang berlaku sebagai ‘kesilapan besar’, dia berkata insiden itu bukan sahaja memalukan perdana menteri tetapi juga buat Malaysia dan rakyat.

Sehubungan itu, menurut Khairy, apa yang berlaku tidak seharusnya  dipandang remeh memandangkan kepentingan geopolitik Arab Saudi, serta peluang perniagaan daripada projek mega di negara itu.

"Saudi Arabia adalah salah satu (negara yang mempunyai) hubungan diplomatik yang sangat-sangat penting bagi kita, bukan saja tentang kuota haji.

“Lainlah kalau ini adalah lawatan peribadi untuk mengerjakan ibadah umrah. Tetapi ini adalah lawatan rasmi. Siaran akhbar kata ini lawatan rasmi. 

“Maksudnya pembayar cukai bayar untuk perdana menteri pergi ke sana. Ia bukan lawatan untuk mengerjakan umrah,” katanya.

Sementara itu, Shahril berkata seseorang mesti dipertanggungjawabkan berhubung apa yang berlaku. Katanya, mereka juga harus berterus-terang dalam menjelaskan kejadian memalukan itu, daripada memberikan alasan yang tidak masuk akal.

“Jadi, perkara ini akan berpanjangan. Dan seperti yang saya katakan sebelum ini, jika perkara itu dapat dijelaskan, mereka yang rasional akan dapat melupakannya,” katanya.

Anwar berkunjung ke Arab Saudi dari 22 Mac hingga 24 Mac.

Menurut Wisma Putra, lawatan itu atas jemputan putera mahkota Saudi dan Anwar dijadualkan berjumpa dengan Raja Salman dan putera mahkota.

Namun, pertemuan itu tidak menjadi kenyataan. Anwar mendakwa bahawa kerajaan Saudi memohon supaya kunjungan itu dilanjutkan, namun delegasi Malaysia terpaksa menolak kerana perdana menteri mempunyai atur cara dan jadual lain yang ketat.

Pemimpin pembangkang, khususnya Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Perikatan Nasional Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyifatkan kejadian itu sebagai memalukan dan menuntut untuk mengetahui kos lawatan berkenaan.

Dia juga membuat perbandingan sambutan dingin yang diterima Anwar dengan kunjungan ketika Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjadi  perdana menteri. Muhyiddin diberi keistimewaan untuk memasuki Kaabah.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff berkata lawatan Anwar tidak seharusnya dinilai semata-mata kerana tiada pertemuan dengan raja dan putera mahkota Arab Saudi.

Dia sebaliknya mengetengahkan perkara lain dalam agenda Anwar, termasuk menerima kunjungan hormat daripada setiausaha agung Pertubuhan Kerjasama Islam Hissein Brahim Taha; menyaksikan pemeteraian tiga memorandum persefahaman antara syarikat Malaysia dan rakan sejawatan mereka di Arab Saudi; serta berjumpa dengan komuniti perniagaan di Jeddah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS