Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan beri kuasa pada Mahkamah Persekutuan ringankan hukuman mati
Diterbitkan:  Mar 27, 2023 5:06 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Kerajaan telah membentangkan rang undang-undang (RUU) yang akan membolehkan Mahkamah Persekutuan menyemak sama ada mahu meringankan atau mengekalkan hukuman gantung ke atas 840 banduan yang dijatuhkan hukuman mati.

Ia selaras dengan satu lagi RUU bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori – yang dirancang oleh kerajaan untuk diluluskan di Dewan Rakyat menjelang 4 April ini.

Jika kedua-dua RUU tersebut diluluskan dan berkuat kuasa, setiap banduan yang dijatuhkan hukuman mati mempunyai tempoh 90 hari untuk memfailkan semakan hukuman masing-masing.

Ia juga terpakai kepada 117 banduan yang sedang menjalani hukuman "penjara seumur hidup" selama 30 tahun.

Dalam kedua-dua kes, jika permohonan semakan gagal, mereka akan mempunyai peluang lagi iaitu melalui kebenaran daripada Lembaga Pengampunan.

RUU yang digubal bagi memansuhkan hukuman mati mandatori memberikan hakim kuasa menggunakan budi bicara untuk dia memilih hukuman, sama ada hukuman mati atau hukuman lain.

Beberapa kesalahan lain yang memberikan mahkamah budi bicara sebelum ini, juga akan dipinda agar satu-satunya hukuman yang ada adalah penjara.

Antaranya kesalahan khianat; cubaan membunuh yang menyebabkan kecederaan; penculikan untuk membunuh; penculikan untuk wang tebusan; mengeluarkan senjata api tanpa lesen; pengedaran senjata api; pemindahan atau pembrokeran barang strategik tanpa kebenaran; dan menyediakan bantuan teknikal bagi aktiviti terlarang.

Dalam kedua-dua situasi, hukuman penjara telah ditukar daripada 30 tahun "penjara seumur hidup" kepada 30 hingga 40 tahun di penjara.

Sementara itu, hakim juga akan diberi budi bicara sepenuhnya untuk memutuskan sama ada seseorang yang disabitkan atas kesalahan mengedar dadah harus dijatuhkan hukuman mati atau tidak.

Buat masa ini, hakim hanya boleh meringankan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah jika kriteria tertentu dipenuhi, termasuk tiada bukti jual beli semasa penahanan, dan orang itu hanyalah keldai dadah, atau pernah membantu dalam kegiatan dadah.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS