Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hukuman mati mandatori dimansuh, penjara maksimum jadi lebih lama
Diterbitkan:  Mar 27, 2023 3:06 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Pindaan undang-undang yang akan dibuat bagi memansuhkan hukuman mati mandatori akan membawa kepada penambahan tempoh maksimum hukuman penjara kepada sepuluh tahun bagi kesalahan-kesalahan berkaitan.

Ia dengan kerajaan berhasrat memadamkan istilah "penjara sepanjang hayat" serta menetapkan tempoh baru bagi hukuman “penjara seumur hidup”.

"Penjara sepanjang hayat" adalah apabila pesalah dijatuhkan hukuman dipenjara sehingga dia meninggal dunia.

Sementara itu, "penjara seumur hidup" - yang sering disalah fahami - ditakrifkan oleh Akta Keadilan Jenayah 1953 dan Kanun Keseksaan sebagai bersamaan penjara 30 tahun.

Ia selepas pindaan pada 2003. Sebelum itu, tempohnya adalah 20 tahun.

Perbahasan bagi RUU untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dijangka bermula pada 3 April, dengan kerajaan berhasrat agar RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat sehari kemudian.

Di bawah pindaan itu nanti, hukuman penjara minimun bagi kesalahan yang sebelum ini membawa hukuman mati adalah 30 tahun, manakala tempoh maksimum adalah 40 tahun. Ini melibatkan beberapa akta, termasuk Kanun Keseksaaan.

Ia tidak terpakai untuk kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya, di mana hukuman alternatif "penjara seumur hidup" bagi kesalahan penyeludupan dadah kekal.

Mahkamah juga diberi kuasa budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun bagi 11 kesalahan. Ia antaranya bagi kesalahan melibatkan keganasan yang menyebabkan kematian, jenayah yang menyebabkan kematian, penahanan tebusan yang menyebabkan kematian serta pembunuhan.

Sementara itu, pilihan untuk hukuman mati tidak lagi ada untuk 10 kesalahan, antaranya melibatkan pengkhianatan, penculikan dengan niat membunuh atau tebusan serta penyeludupan senjata api.

Bagi kesalahan penyeludupan dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, hakim kini bebas sepenuhnya untuk memutuskan sama ada menjatuhkan hukuman mati atau hukuman alternatif.

Pada masa ini, mahkamah hanya boleh untuk tidak menjatuhkan hukuman mati bagi kesalahan penyeludupan dadah atas beberapa keadaan, termasuk tiada bukti kegiatan jual beli ketika penangkapan, dan jika individu itu hanya "keldai dadah" atau telah membantu operasi pihak berkuasa.

Sementara itu, kerajaan juga membentang satu lagi RUU untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan menyemak semula 840 kes yang telah dijatuhkan hukuman mati, dan memutuskan hukuman tersebut perlu diteruskan atau dikurangkan.

476 banduan lagi yang sudah dijatuhkan hukuman mati namun dalam proses rayuan di mahkamah turut tertakluk kepada perubahan ini.

Mahkamah Persekutuan juga menyemak semula 117 pesalah yang kini sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS