Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Rayuan membenarkan Ahmad Zahid Hamidi mendapatkan semula pasportnya bagi membolehkan dia melakukan perjalanan antarabangsa untuk menghadiri sebarang majlis rasmi.

Panel tiga orang hakim yang dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah sebulat suara membenarkan permohonan baru dibuat timbalan perdana menteri itu.

Dua lagi hakim yang bersidang untuk mendengar permohonan tersebut ialah Ahmad Zaidi Ibrahim dan Lim Chong Fong.

Keputusan itu dibuat selepas timbalan pendakwa raya Abdul Malik Ayob berkata dia diarahkan untuk tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan dibuat Ahmad Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk mengemukakan memohon untuk mendapatkan keputusan berbeza daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Feb yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport bagi kegunaan bertugas.

Pasport Ahmad Zahid sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat jaminan RM2 jutanya dalam perbicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi yang sedang berjalan.

Semasa prosiding, Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan pasukan pembelaan Ahmad Zahid untuk meminda permohonan terdahulu berkaitan pasportnya daripada semakan kepada permohonan baru mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Hisyam Teh Poh Teik

Ditemui media selepas prosiding mahkamah terbuka pagi ini, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, berkata mahkamah membenarkan pemulangan pasport peribadi menteri serta pasport diplomatik yang merupakan antara syarat jaminan bagi kes yang sedang dihadapinya.

“Alasannya (dipetik untuk permohonan) ialah terdapat perubahan keadaan selepas PRU ke-15 kerana pemohon (Ahmad Zahid) dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan menteri (kemajuan luar bandar dan wilayah).

“Dia memerlukan pasport untuk melaksanakan tugasnya. Dia tidak berrisiko untuk melarikan diri dan dia hadir pada setiap masa ketika dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Hisyam menambah, Ahmad Zahid dan penjaminnya telah memberi aku janji dalam afidavit mereka bahawa dia akan tetap hadir di mahkamah apabila perbicaraan berlangsung.

Selepas prosiding ringkas berlangsung sebentar tadi, Ahmad Zahid dilihat meninggalkan Istana Kehakiman di Putrajaya.

Ketika ini dia sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang haram melibatkan berjuta-juta dana Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan kini di peringkat pembelaan selepas mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri pada 24 Jan tahun lalu.

Ia berlangsung di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah dan akan bersambung pada 10 April ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS