Semua pihak, termasuk pembangkang patut membela perdana menteri jika benar dia dimalukan keluarga diraja Saudi dalam lawatannya, kata ahli parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.
“Anwar Ibrahim bukan perdana menteri untuk rakyat Tambun atau penyokong gabungan parti politik Kerajaan Perpaduan sahaja.
“Anwar Ibrahim adalah perdana menteri bagi semua 33 juta Rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam lawatan itu, Anwar tidak bertemu dengan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota yang menukar jadual menjelang Ramadan.
Setiausaha politik perdana menteri Ahmad Farhan Fauzi berkata, Anwar tidak dapat memanjangkan lawatannya kerana mempunyai acara lain bersama Yang di-Pertuan Agong dan lawatan rasmi ke Kemboja.
Selain itu perdana menteri juga dijadual mengadakan kunjungan rasmi China pula untuk bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang.
Sementara itu, Hassan berkata jika benar Arab Saudi melanggar protokol diplomatik, isu itu tidak wajar dijadikan bahan persendaan oleh pembangkang.
"Tetapi di dalam isu politik antarabangsa kita seharusnya tidak wajar bergaduh. Misalnya, dalam isu lawatan perdana menteri ke Arab Saudi baru-baru ini,” katanya.
"Jika perdana menteri kita, hatta dia pemimpin politik lawan kita, Anwar tetap perdana menteri kita sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah dan punya jati diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu Hassan berkata, sesiapa yang telah mengambil kesempatan memburuk-burukkan dan memalukan perdana menteri susulan kejadian itu perlu berasa malu pada diri sendiri.
"Anda yang mempersendakan Anwar, sebenarnya anda mempersendakan diri anda sendiri.
"Anda yang cuba memalukan Anwar, sebenarnya anda memalukan diri anda sendiri.
"Kita mesti kenal sempadan. Dalam isu antarabangsa, kita perlu ingat peribahasa Melayu lama iaitu cubit peha kiri, peha kanan sakit juga," katanya lagi.