Di sebuah negara dengan nilai agama yang konservatif seperti Malaysia, perbincangan tentang seks secara sihat dan membina amat sukar dilaksanakan.
Lebih-lebih lagi apabila melibatkan amalan seks yang luar pernikahan dan sesama jantina, sering kali perbincangan mengenai seks di Malaysia berputar sekitar hukum-hakam agama dan nilai tempatan sahaja, sedangkan isu mengenai seks adalah lebih rumit daripada sekadar aspek agama dan nilai semata-mata.
Salah satu contoh yang terdekat ialah ketika perbincangan hangat berlaku mengenai isu pemberian ubat profilaksis prapendedahan (PrEP) untuk virus kurang imun manusia (HIV) sekitar akhir tahun lalu.
Tidak mengejutkan, ramai antara rakyat Malaysia, terutamanya dalam kalangan Melayu dan Muslim mengkritik dengan keras pemberian ubat-ubatan tersebut secara terbuka.
Perbincangan mengenai PrEP dalam kalangan komuniti konservatif Malaysia selalu dimatikan dengan penekanan bahawa tindakan tersebut akan lebih menggalakkan amalan seks yang dilarang dalam agama.
Hal ini tidak menghairankan kerana di Malaysia ini sendiri, perbincangan tentang pendidikan seks daripada sudut sains, kesihatan, dan psikologi tidak berlaku secara konstruktif.
Hasilnya, apabila rakyat Malaysia berbicang tentang seks, isu yang selalunya dibangkitkan adalah hanya tentang apa yang halal dan haram sahaja, lebih-lebih lagi daripada sudut agama Islam.
Perbincangan tentang seks yang terlalu terhad kepada hukum-hakam agama ini akhirnya melahirkan masyarakat yang menghukum manusia yang terlibat dengan amalan seks yang bertentangan dengan hukum sebagai manusia yang jijik dan hina semata-mata.
Natijahnya, perbincangan sempit sebegini mengaburkan kita tentang kerumitan isu seks dan seksualiti yang membelenggu rakyat Malaysia, terutamanya dalam kalangan anak muda.
Tidak dinafikan, matlamat akhir menjadi Muslim yang baik ialah menjadi hamba yang diredai Allah dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Namun begitu, Allah tidak menciptakan manusia sebagai makhluk yang terhad kepada hitam dan putih sahaja.
Keputusan yang diambil oleh seseorang manusia itu banyak dipengaruhi oleh faktor dalaman manusia dan faktor luaran, termasuklah psikologi dan persekitaran fizikal dan sosial.
Daripada sudut psikologi contohnya, kita tidak boleh menafikan bahawa keinginan seks ini sememangnya merupakan fitrah manusia. Malah lebih rumit lagi, cukup ramai yang lahir dengan keinginan seks yang bukan heteroseksual.
Namun, di Malaysia ini, kita sering kali mengehadkan perbincangan tentang seks seputar halal dan haram sahaja. Kita tidak berbincang secara lanjut dan dengan jujur tentang bagaimana kita bertindak dengan keningan seks secara objektif.
Persekitaran sosial yang menghukum si pelaku seks yang bertentangan dengan nilai agama ini mengakibatkan ramai yang tidak berani dan mahu bercakap dan meluahkan tentang kecelaruan tentang keinginan seks dalam diri masing-masing.
Akhirnya, ramai yang membuat keputusan yang salah mengenai kehidupan seksual mereka. Mereka tidak mempertimbangkan apa yang baik dan buruk mengenai tindakan mereka daripada sudut kesihatan dan psikologi.
Ramai yang akhirnya jatuh terhumban dalam ketagihan seks dan ramai yang tidak mengendahkan aspek kesihatan dan keselamatan dalam amalan seks mereka sehingga akhirnya ramai yang merisikokan nyawa mereka sendiri.
Oleh sebab itu, kita perlu mula jujur apabila kita berbincang mengenai seks di Malaysia. Semua orang, terutamanya Melayu dan Muslim tidak seharusmnya berpura-pura seolah-olah kita tidak mempunyai nafsu seks langsung.
Individu yang bernasib baik, lebih-lebih lagi dalam kalangan Melayu Muslim dengan keinginan heteroseksual yang bertuah mampu berkahwin dan boleh mengamalkan seks bersama pasangan halalnya tidak sepatutnya bermudah-mudah menghukum manusia lain dengan masalah keinginan seks dan seksualiti yang lebih rumit daripada mereka.
Kita perlu mula berbincang tentang isu seks ini dengan lebih jujur dan terbuka dengan menerima bahawa keinginan seks itu bukan sesuatu yang tabu. Keterbukaan ini penting kerana kita mahu lebih ramai lagi individu, terutamanya anak muda lebih berani meluahkan tentang isu yang membelenggu mereka mengenai keinginan seks, seterusnya membimbing mereka dalam membuat keputusan yang tepat mengenai keinginan seks mereka.
Perbincangan dalam kalangan agamawan juga perlu lebih terbuka mengenai isu seks ini. Tidak dinafikan bahawa terdapat hukum-hakam yang jelas daripada sumber hukum yang melarang amalan seks tertentu. Tetapi mudarat mengharamkan kaedah pencegahan penyakit berjangkit seksual (STI) seperti kondom dan PrEP seharusnya dipertimbang.
Adakah kita rela melihat anak muda kita menderita dengan STI seperti HIV dan akhirnya menemui kematian sebelum kita sempat mendekati mereka? Sekurang-kurangnya dengan amalan seks dengan pencegahan STI yang baik memberi mereka lebih masa untuk mereka mempertimbang matlamat akhir yang terbaik buat mereka mengenai keinginan seks mereka.
Kita tidak mahu mereka mati dengan sia-sia hanya kerana mereka gagal melakukan keputusan seks yang salah, hanya kerana mereka takut meluahkan masalah seks dan seksualiti mereka.
Oleh sebab itu, perbincangan mengenai seks di Malaysia perlu lebih jujur dan kondusif bagi menatijahkan suasana yang lebih terbuka untuk rakyat Malaysia mula meluahkan tentang kekeliruan mereka tentang keselamatan dan kesihatan dalam amalan seksual mereka.
Akhirnya, apabila kita berjaya melahirkan suasana yang kondusif dan terbuka menerima mereka yang terbelenggu dengan kekeliruan dengan keinginan seks mereka, barulah kita dapat membimbing mereka melakukan keputusan yang tepat dalam menguruskan keinginan seksual mereka.
Cukuplah kita menghukum, mulakanlah menerima mereka seadanya.
WAN SALMAN WAN SALLAM ialah pembaca Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.