Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) mempertahankan lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi di sebalik dakwaan pembangkang ia merupakan suatu kegagalan.
Ketua Pengarah Jabatan J-Kom, Mohammad Agus Yusoff berkata walaupun tidak sempat bertemu dengan pemimpin tertinggi negara itu, Anwar tetap mencatat kejayaan termasuk dari segi ekonomi.
Kata Agus dia tidak pasti apakah yang dimaksudkan gagal oleh pembangkang yang mengkritik jawatan tersebut.
“Adakah ia tidak berjaya hanya kerana Anwar tidak dapat berjumpa dengan Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota (Mohammed Salman Al-Saud) atau ada hujah lain yang lebih substantif?
"Dalam hal ini, perdana menteri telah menjelaskan sebabnya," kata bekas ahli akademik itu.
Tambah Agus dalam isu pertemuan dengan dua pemimpin tertinggi Arab Saudi itu Anwar sudah menjelaskan sebabnya.
“Pemimpin Arab Saudi telah memohon supaya kunjungan perdana menteri dipanjangkan selama dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara itu.
“Ia kerana Raja Arab Saudi dan putera mahkotanya menukar jadual mereka menjelang Ramadan, namun Anwar terpaksa menolak dan berjanji akan datang lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen PN mempertikaikan lawatan rasmi Anwar dengan menyentuh bahawa tiada laporan mengesahkan Anwar bertemu dengan kedua-dua pemimpin terbabit.
Pengerusi jawatankuasa itu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam kenyataannya turut membandingkan layanan yang diberikan Riyadh terhadap pemimpin PN, Muhyiddin Yassin serta Dr Mahathir Mohamad sewaktu mereka ke Arab Saudi sebagai perdana menteri.
Antara aspek yang disentuh ahli parlimen Machang itu ialah lawatan memasuki Kaabah kepada kedua-dua pemimpin terbabit.
“Dengan ketiadaan pertemuan dengan Putera Mahkota perdana menteri turut gagal mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, iaitu menteri kewangan Arab Saudi,” katanya sambil menyoal sama ada objektif lawatan itu telah tercapai atau tidak.
Baru rakyat tahu
Dia yang juga ketua Pemuda Bersatu turut menuntut supaya Anwar memberikan penjelasan lawatan tersebut di Dewan Rakyat, termasuk kos keseluruhan lawatan tersebut.
Jelas Agus, Anwar terpaksa menolak jemputan Riyadh untuk melanjutkan kunjungan tersebut kerana terikat dengan majlis rasmi lain termasuk berbuka puasa dengan Yang di-Pertuan Agong pada 25 Mac, lawatan sehari ke Kemboja (17 Mac) selain ke Beijing untuk menemui dua pemimpin China, Xi Jinping dan Li Qiang pada 29 Mac.
Menurutnya semasa di Arab Saudi Anwar mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Muslim Dunia di Mekah, serta mendengar taklimat ahli perniagaan Malaysia mengenai pembabitan meluas mereka dalam bandar raya futuristik Neom.
Katanya ia merupakan projek mega terbaru Arab Saudi dengan pelbagai peluang pihak industri dari Malaysia.
"Turut dibincangkan ialah pelbagai isu yang melanda dunia Islam dan inisiatif membina jaringan, berdasarkan nilai serta kerjasama bersama.
“Jika tidak berpuas hati juga dengan hasil lawatan dan kos lawatan perdana menteri ke Arab Saudi, tanya sendiri di parlimen.
"Pada setiap Selasa perdana menteru sedia menjawab. Jangan pula tidak datang masa itu.
"Dari situlah baru rakyat tahu apa sebenarnya isu yang dikecohkan oleh pembangkang ini,” katanya.