Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Analisis undi etnik PRU15 - Bahagian 6: Undi di Sabah

Politik Sabah telah melalui perubahan yang dahsyat dalam empat tahun kebelakangan ini. Dengan melihat corak undian etnik Sabah, kita dapat memahami dan menghargai bukan sahaja keunikan Sabah, bahkan juga bagaimana ia mencerminkan peralihan sokongan lebih luas yang berlaku dalam politik nasional, di mana sokongan daripada komuniti-komuniti berbeza tidak boleh dipandang enteng. Setiap undi itu bernilai.

Artikel keenam dalam siri undian etnik PRU15 ini menganalisis tingkah laku pengundian daripada keputusan pusat mengundi di Sabah dan membandingkan keputusan ini dengan keputusan PRN Sabah 2020 dan PRU14.

Dapatan ini menunjukkan bahawa peralihan sokongan etnik adalah penting dalam membentuk keputusan PRU15 di Sabah, di kala jajaran etnik baru muncul. Situasi Warisan kehilangan kerusi dan Pakatan Harapan (PH) meraih sokongan lebih kuat, adalah berkait dengan perubahan dalam pengundian di kalangan komuniti berbeza, terutamanya orang Cina dan Kadazan-Dusun-Murut (KDM). Data juga menunjukkan terdapat jurang perpecahan yang berterusan dalam undian antara Pantai Timur dan Pantai Barat Sabah di kalangan komuniti etnik berbeza.

Secara perbandingan, sokongan GRS/BN menunjukkan lebih konsistensi dari masa ke masa, namun pangkalan sokongannya turut mengalami perubahan – menyusut di kalangan beberapa komuniti. Secara khusus, GRS/BN berdepan penyusutan ketara pengundi Cina, memandangkan komuniti ini menumpukan sokongan mereka kepada PH, seperti yang berlaku di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Fabrik sosial Sabah yang berbilang kaum menuntut parti dan gabungan untuk meraih sokongan merentasi komuniti. Oleh itu, corak undian menunjukkan yang Sabah kurang berdepan polarisasi etnik dan politik, berbanding tempat lain di Malaysia.

Meskipun begitu, retorik polarisasi etnik dalam kempen-kempen Semenanjung tetap memberikan kesan terhadap keputusan pilihan raya di Sabah dalam persaingan-persaingan yang sengit, menyumbang kepada kejayaan PH seperti yang dapat dilihat berlaku di Sarawak– di kawasan-kawasan Kristian – dan menggalakkan prestasi GRS/Umno dengan merangsang lebih ramai pengundi Melayu keluar mengundi.

Analisis Sabah dalam konteks: Kuasa dan personaliti tempatan

Sabah istimewa. Politiknya tidak sama seperti Semenanjung Malaysia, juga berbeza dengan Sarawak. Sementara Sarawak turut ada peranannya dalam kempen PRU15 di Sabah, apabila gabungan yang bertanding bersaing untuk muncul sebagai pemenang terkuat – seperti Gabungan Parti Sarawak di wilayah jiran berkenaan – dinamik di lapangan yang membentuk pengundian pula adalah sangat bersifat setempat. Politik personaliti (dan seringkali sumber kewangan sesetengah personaliti) masih berleluasa di Sabah. Pertimbangan rakyat Sabah dalam memilih wakil rakyat di peringkat nasional pada PRU15 adalah dibentuk oleh ikatan dan realiti tempatan.

Undian etnik di Sabah dibentuk oleh pertimbangan setempat dan nasional. Pengundi mengambil berat tentang adanya wakil rakyat yang dapat mereka hubungi untuk meminta bantuan. Di sini, faktor ikatan etnik itu memainkan peranan. Pada masa sama, politik etnik di Sabah mempunyai coraknya yang tersendiri, perbezaan regional di mana tarikan dibentuk oleh bagaimana komuniti berselisih antara satu sama lain mengenai isu-isu seperti isu pemindahan dan petempatan di negeri itu.

Di sini, isu yang paling menonjol – seperti migrasi dan komposisi etnik – memainkan peranan penting. Tambahan pula, terdapat kesedaran berkenaan perpecahan etnik yang berlaku di peringkat nasional, terutamanya mobilisasi agama serta kebimbangan terhadap retorik ekstremis dan hak beragama.

Tidak seperti PRU14 yang menyaksikan isu ‘hak negeri’ mendominasi kempen di Sabah, corak undian etnik pada PRU15 menggambarkan kombinasi faktor setempat, negeri dan nasional mempengaruhi keputusan pilihan raya. Boleh dikatakan, di Sabah, faktor keadaan dan calon setempat adalah paling menonjol berbanding mana-mana tempat lain di Malaysia.

Berbanding tempat lain, tahap persaingan di Sabah adalah paling meriah, dengan persaingan tiga (kadangkala empat) gabungan berbeza serta calon-calon bebas tempatan lain yang kuat.

Komposisi gabungan bukannya PH/BN/PN tetapi Warisan/PH/GRS/BN. Separuh kerusi di Sabah (dan Labuan) dimenangi dengan margin tipis, kurang dari 10 peratus, menjadi bukti kepada sengitnya persaingan dengan undi terpecah antara beberapa pencabar dekat.

Keragaman, peningkatan pengundi

Persaingan diperhebat lagi dengan bilangan pengundi baru yang besar. Sabah menyaksikan peningkatan mencanak jumlah pengundi dengan pertambahan 600,000 pengundi baru ke dalam daftar pemilih susulan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik: dari 1.1 juta pengundi melonjak ke 1.7 juta orang.

Peningkatan ini, sebahagiannya membantu kita memahami kadar keluar mengundi yang rendah pada PRU15, seperti yang diperincikan di bawah.

Analisis undian etnik yang dilakukan saya ini memfokuskan kepada komuniti utama dari segi saiz – Cina, Kadazan-Dusun, Murut, Bajau (di kedua-dua Pantai Timur dan Barat Sabah, meskipun Bajau di kedua-dua belah ini berbeza), Melayu (termasuk Melayu Brunei), dan komuniti lain (terdiri daripada lebih 40 kumpulan berbeza, antara yang terbesar adalah Bugis, Rungus, Sungai, Suluk, Kedayan, dan Bisaya).

Penting untuk difahami bahawa identiti etnik Sabah adalah kompleks dan saling berkait. Kebanyakan orang Sabah tidak memandang diri mereka dalam kategori etnik Semenanjung Malaysia, atau menerima retorik etnik Melayu/bukan Melayu di sana. Pengundi Sabah mengalami beberapa tahap anjakan/perdebatan tentang pemberdayaan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, serta di dalam Sabah itu sendiri.

Isu etnik nasional yang paling menonjol di kalangan orang Sabah adalah retorik agama semasa PRU15. Seperti di Sarawak, Sabah juga memiliki jumlah penganut Kristian yang ramai, iaitu suku daripada populasi.

Kadar keluar mengundi

Seperti Sarawak, kadar keluar mengundi di Sabah juga adalah antara yang terendah. Pada PRU15, kadar keluar mengundi keseluruhan di Sabah menjunam daripada 76 peratus pada PRU14 dan 67 peratus pada 2020, kepada 64 peratus pada 2022.

Peratusan yang rendah ini adalah isyarat bahawa lebih ramai pengundi yang keluar mengundi, tetapi juga memperkukuh kenyataan dalam siri sebelum ini bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya harus menambah baik pilihan pengundian untuk mereka yang berada jauh dari kampung halaman pada hari mengundi.

Antara komuniti etnik berbeza di Sabah, orang Cina mencatat kadar keluar mengundi paling rendah, menurun ke anggaran 58 peratus. Ini diikuti rapat orang Bajau pada kadar 60 peratus, iaitu penurunan sebanyak 12 peratus. Penurunan paling besar adalah di kalangan orang Murut, iaitu sebana\yak 14 peratus, jatuh ke angka 66 peratus. Komuniti lain menunjukkan penurunan kecil.

Lain pula halnya dengan orang Melayu. Kadar keluar mengundi meningkat ke anggaran 74 peratus, hampir sama dengan angka PRU14, dengan peningkatan 19 peratus. Kenaikan angka orang Melayu ini menyumbangkan kejayaan Umno di Putatan, sebagai contoh. Untuk menunjukkan betapa pentingnya kadar keluar mengundi dalam keputusan pilihan raya di Sabah, lapan kerusi akan bertukar keputusan sekiranya ada hanya sedikit perubahan pada kadar keluar mengundi, dari Tenom hingga ke Tawau.

Warisan merosot, PH raih untung

Peralihan paling besar adalah kehilangan kerusi Warisan, daripada lapan kerusi pada PRU14 kepada tiga kerusi sahaja. Data undian etnik membantu kita memahami peralihan ini, memandangkan dua kumpulan beralih sokongan. Pertama, orang Cina Sabah. Warisan hanya mampu memikat 10 peratus anggaran sokongan, manakala selebihnya kekal setia dengan PH. Pemisahan dari PH dan hubungan keruh dengan DAP, memarakkan rasa tidak percaya, seterusnya menyebabkan Warisan kecundang dalam usaha merebut sokongan orang Cina Sabah. PH memenangi 85 peratus sokongan pengundi Cina Sabah.

Kumpulan kedua yang beralih arah dari Warisan adalah KDM. Sokongan Kadazan-Dusun merosot hampir separuh, daripada anggaran 28 peratus pada 2020 kepada 15 peratus. Penurunan lebih teruk dicatat di kalangan orang Murut, daripada anggaran 30 peratus ke 6 peratus.

Warisan masih mampu berpaut pada sokongan orang Melayu, dengan penurunan kecil di kalangan komuniti lain. Sokongan orang Bajau meningkat sebanyak 9 peratus. Bajau kekal penyokong paling kuat buat Warisan, terutamanya di Pantai Timur.

Sementara itu, PH kehilangan sokongan orang Bajau, Melayu dan komuniti lain, namun memenangi lebih banyak sokongan daripada komuniti KDM.

Malah, tanpa Warisan sokongan KDM adalah lebih tinggi buat PH, mencecah 37 peratus. Di sebalik peralihan sokongan KDM, ada rasa tidak puas hati tentang penyisihan akibat migrasi haram serta rasa tidak percaya terhadap Warisan di kalangan komuniti itu yang dimainkan pada pilihan raya terdahulu.

Sebagaimana disebut sebelumnya, Sabah memiliki pecahan etnik unik yang tersendiri dalam pengundian yang berpusat pada kuasa dan perubahan emosi komuniti tempatan, dengan jurang perbezaan antara Pantai Timur – di mana Warisan menunjukkan prestasi baik – dan Pantai Barat – di mana komuniti KDM lebih ramai dan PH menikmati peningkatan undi.

Pemulihan kepemimpinan UPKO dan mobilisasi terhadap serangan di peringkat pusat ke atas agama Kristian melonjakkan prestasi PH di kalangan KDM berbanding pilihan raya terdahulu, seperti yang dapat dilihat pada kejayaan PH di Penampang dan Tuaran.

Peralihan sokongan dua komuniti tersebut, orang Cina dan KDM menguatkan hasil kerusi Warisan dan PH.

GRS dan BN Bertahan

Sementara orang Cina Sabah memberi sokongan padu buat PH, komuniti KDM pula lebih terpecah-belah dalam sokongan. Mereka turut mengundi calon bebas dan parti-parti dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah Hajiji, seperti Star di Keningau. GRS/BN memenangi anggaran 36 peratus undi KDM.

GRS menang 6 kerusi pada PRU15. Gabungan itu muncul selepas PRN2020, menyertai parti-parti yang menyokong kepemimpinan Muhyiddin pada masa itu, dan membentuk parti sendiri pada Mac 2020. Sementara Umno sudah berpisah dari kerajaan Hajiji sejak awal tahun ini, GRS sebelum itu bersekutu dengan BN (kecuali di dua kerusi yang mereka bertembung, di Tenom dan Beluran). Mempertimbangkan ikatan yang terjalin ini pada 2020 dan 2022, analisis kedua-dua gabungan ini dilakukan secara bersekali.

Dapatan undian etnik menunjukkan GRS/BN mengekalkan tahap sokongan pilihan raya terdahulu di kalangan komuniti, terutamanya di kalangan orang Melayu, komuniti lain dan Cina (tahap sokongan adalah rendah). Namun tahap sokongan di kalangan KDM menurun, dengan sokongan Kadazan-Dusun dan Murut merosot masing-masing dari anggaran 19 peratus dan 10 peratus pada 2022 berbanding tahun 2020.

Penurunan ketara turut berlaku di kalangan orang Bajau, pada kadar 15 peratus. Tarikan GRS tidak sekuat seperti pada tahun 2020.

Tiada orang Sabah yang tercicir

Justeru, bagaimana untuk kita memahami undian etnik di Sabah?

Tidak ada keraguan bahawa terdapat pemecahan yang lebih besar, kerana persaingan sengit dan kesetiaan etnik yang berbeza pada pelbagai peringkat menyumbang kepada kemenangan beberapa parti/gabungan.

Campuran faktor tempatan, negeri dan nasional membentuk keputusan pilihan raya, dengan isu-isu etnik berlaku dalam cara berbeza di setiap kerusi di Sabah dan berbeza pula berbanding tempat-tempat lain di Malaysia.

Corak undian etnik menunjukkan gabungan-gabungan politik di Sabah mempunyai tarikan berbeza di mata masyarakat. Sesetengah parti/gabungan masih bertahan manakala yang lain pula berdepan nasib berbeza. Terdapat jajaran etnik baru, regionalisme yang berterusan di Sabah serta kurangnya polarisasi etnik berbanding tempat-tempat lain di Malaysia.

Sejarah politik Sabah menunjukkan perpecahan dan corak perubahan politik yang telah lama wujud.

Perpecahan ini telah lama dimainkan. Kemungkinan akan sentiasa berlaku peralihan sokongan pada masa hadapan. Lagi pula, Sabah menentang kemasukan Umno pada 1980an hingga 1990an, dan peralihan sokongan pada 2018 adalah penting untuk pembentukan kerajaan PH pimpinan Mahathir.

Orang Sabah sejak dahulu menunjukkan yang mereka sanggup mengambil risiko dan menukar kesetiaan; mereka akan lakukan apa yang perlu bagi terus bertahan sebagai minoriti di dalam minoriti, satu tempat yang (masih) dilayan secara tidak adil sebagai kelas kedua di persada nasional.

Baik GRS, Umno-Sabah, PH-Sabah dan Warisan, sokongan dari pelbagai parti di Sabah adalah penting untuk kelangsungan kerajaan Anwar. Amalannya (sehingga kini) adalah memberi ganjaran kepada gabungan yang mempunyai bilangan kerusi tertinggi untuk memperoleh kuasa di peringkat nasional dan menguatkan perpecahan di Sabah.

Dapatan undian etnik menunjukkan keperluan untuk satu pendekatan baru, yang benar-benar inklusif, merangkumi perwakilan semua parti di Sabah serta tidak melemahkan wakil rakyat dengan memotong peruntukan kawasan, yang diperlukan masyarakat tempatan yang sedang bergelut dengan kehidupan di Sabah.

Usaha perlu dilakukan melalui pelbagai rakan kongsi tempatan untuk menjangkau komuniti-komuniti berbeza di Sabah. Libat urus ini perlu melangkaui elit politik kepada wakil-wakil rakyat tempatan yang lain.

Paling penting adalah satu pendekatan berkesan yang dapat menarik perhatian kepada isu-isu yang didepani rakyat Sabah di saat mereka bergelut untuk meneruskan kehidupan. Inilah yang kurang di wilayah berkenaan. Perpecahan politik elit Sabah bermakna suara majmuk yang menuntut perwakilan dan tadbir urus yang lebih baik, sedang diabaikan.

Keputusan PRU15 menunjukkan bahawa orang Sabah telah berulang kali mengundi untuk perubahan, mengambil risiko dan mengubah sokongan; mereka masih terus-terusan menanti dan berharap agar perubahan itu benar-benar dapat direalisasikan.


ULASAN | Analisis undian etnik PRU15 – Bahagian 1

ULASAN | Analisis undian etnik PRU15 – Bahagian 2: Siapa keluar mengundi?

ULASAN | Analisis undian etnik PRU15 – Bahagian 3: Kuasa undi kaum India

ULASAN | Analisis undian etnik PRU15 – Bahagian 4: Kutub pengundi Cina


BRIDGET WELSH ialah Penyelidik Kehormat Institut Kajian Asia Malaysia (Unari) Universiti Nottingham. Dia juga penyelidik kanan di Hu Fu Centre for East Asia Democratic Studies dan felo kanan di The Habibie Centre. Penulisannya boleh didapati di bridgetwelsh.com. Ikuti siri podcastnya, Kerusi Panas.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS