Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PN kekal guna logo PAS di Kelantan dan Terengganu

Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan logo PAS bagi calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan dan Terengganu.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perkara itu telah dimuktamadkan pucuk pimpinan PN.

"Saya ingin memaklumkan keputusan PN untuk mengekalkan (penggunaan) logo, Kelantan dan Terengganu (kekal guna) logo PAS.

"Selain daripada itu, empat lagi negeri akan gunakan logo PN," katanya dalam sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria di sebuah hotel, di Ampang, petang tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) calon yang bertanding atas tiket PN menggunakan logo PAS di Kelantan dan Terengganu.

Gabungan parti itu juga berjaya menyapu bersih kesemua kerusi parlimen di kedua-dua negeri berkenaan.

Tuan Ibrahim berkata PN telah menggerakkan jentera bersama bagi menghadapi PRN berkenaan dan melantik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pengarah pilihan raya.

Tambah Tuan Ibrahim, Gerakan juga akan bertanding dalam PRN kali ini dan akan diperuntukkan kerusi lebih banyak khususnya di Pulau Pinang.

"Ya (Gerakan akan ada kerusi)...banyak," katanya ketika ditanya wartawan.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata dakwaan yang mengatakan bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan menyertai PN untuk bertanding dalam PRN hanyalah spekulasi semata-mata.

"Tetapi kalau jika betul (Khairy bertanding mewakili PN), ia adalah satu kelebihan," katanya.

Muhamad Sanusi turut yakin PN akan berjaya mengekalkan kemenangan di tiga negeri serta merampas negeri Pakatan Harapan (PH) khususnya di Negeri Sembilan dan Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS