Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jabatan Perhutanan pertikai laporan RimbaWatch mengenai kemusnahan hutan
Diterbitkan:  Mar 25, 2023 6:20 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menyambut baik usaha RimbaWatch dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara hutan di negara ini, namun jabatan itu membangkitkan kebimbangan mengenai laporan terbaru dikeluarkan kumpulan itu.

JPSM menegaskan pemahaman RimbaWatch berkaitan ladang hutan adalah berbeza daripada definisi yang digunakan oleh jabatan berkenaan dan kerajaan.

“Kami mendapati RimbaWatch menggunakan takrifan berbeza daripada yang digunakan JPSM atau kerajaan khususnya takrifan ‘hutan’ dan juga pemahaman kumpulan berkenaan mengenai ‘penebangan hutan’ dan ‘ladang hutan’.

“Malah, di bawah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), perladangan hutan merupakan salah satu aktiviti yang boleh dijalankan melalui kawalan dan amalan perhutanan yang ditetapkan.

“Perbezaan dan percanggahan ini didapati menyebabkan jangkaan yang dibuat oleh RimbaWatch mengenai tahap kehilangan hutan di Malaysia terlalu besar sehingga mencecah 2.3 juta hektar,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.

JPSM menegaskan dalam konteks perhutanan di bawah rangka kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia melaporkan data perhutanan setiap lima tahun melalui pelaporan Penilaian Sumber Hutan (PSH) yang diselaraskan oleh FAO.

Selain itu, jabatan itu berkata terdapat beberapa laporan berkala di bawah konvensyen antarabangsa seperti Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) dan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) yang turut melibatkan pelaporan data perhutanan.

“Kerajaan juga komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara dengan litupan hutan dan pokok yang merupakan komitmen negara yang telah dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.

“Sejak itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan kerajaan bagi memastikan komitmen itu tercapai.

“Justeru, JPSM berharap semua pihak tidak terlalu bimbang dengan ramalan angka kehilangan hutan seperti yang dilaporkan RimbaWatch,” tambahnya.

Jabatan perhutanan berkata ia akan terus berusaha mengekalkan kawasan hutan, terutamanya di Semenanjung Malaysia dan memastikan semua strategi selari dengan matlamat negara untuk mengimbangi dan mengekalkan pembangunannya.

Untuk mencapai hal itu, JPSM berkata ia memerlukan kerjasama dan bantuan kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain.

Pada 20 Mac, RimbaWatch mengeluarkan amaran tentang kemusnahan hutan yang meluas di negara ini pada masa hadapan, melibatkan kawasan tanah yang lebih besar daripada Perak, Pulau Pinang dan Melaka jika digabungkan.

NGO itu melaporkan kira-kira 2.34 juta hektar hutan di negara ini dirancang dibersihkan, hampir menyamai keluasan negeri ketiga terbesar iaitu Pahang.

Kumpulan itu menganalisis lima kategori kawasan berisiko penebangan hutan, meliputi pengezonan bukan hutan bagi tanah berhutan, penyenaraian hartanah tanah berhutan, penyahwartaan hutan simpan, penilaian kesan alam sekitar terhadap hutan berisiko yang diluluskan dan pelbagai data.

Berdasarkan anggaran mereka, RimbaWatch memberi amaran aktviti pembersihan hutan boleh mengurangkan litupan hutan Malaysia kepada 15.6 juta hektar, iaitu 47.35 peratus daripada jumlah keluasan tanah negara.

Ini berdasarkan data kerajaan pada 2017, yang menyatakan kawasan hutan Malaysia adalah 18.33 juta hektar, atau 55.2 peratus daripada jumlah keluasan tanah negara.

Kumpulan itu menggesa kerajaan menghentikan semua aktiviti pembalakan untuk ladang balak dan meminda takrifan litupan hutan untuk memasukkan hanya hutan semula jadi.

Mereka juga menggesa kerajaan mengembangkan komitmen 50 peratus litupan hutan dan membangunkan strategi untuk mengekalkan litupan hutan semula jadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS