Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BELASUNGKAWA | Kembalinya pejuang rakyat T Rajamoorthy

BELASUNGKAWA | Pada pagi kelmarin, Jumaat 24 Mac 2023 kira-kira jam 09.28 pagi, aku menerima satu khabar berita dari Profesor Dr Syed Husin Ali melalui aplikasi Whatsapp.

Beliau memberitahu bahawa kawan baik kami bernama T Rajamoorthy telah meninggal dunia pada jam 4 pagi Jumaat.

Aku tidaklah terlalu terkejut, tetapi tiba-tiba terasa sedih dan semacam kehilangan sesuatu yang bernilai. Aku menjawab whatsapp Dr Syed Husin itu dengan menulis ringkas: “Allahuakhbar. Perginya seorang sahabat seperjuangan yang baik.”

Selang beberapa minit, Syed Husin (gambar, bawah) mengirimkan sekeping gambar ketika beliau menziarahi T Rajamoorthy di sebuah hospital di Pulau Pinang.

Bagi rakyat biasa, orang awam baik di Pulau Pinang, negeri kediamannya, apatah lagi di Malaysia secara umum, T Rajamoothy bukanlah seorang selebriti.

Beliau tidak dikenali ramai, terutama generasi muda sekarang. Tetapi kepada orang-orang politik, khususnya ahli lama Parti Rakyat Malaysia (PRM), T Rajamoorthy sangat dihormati sebagai seorang pemimpin dan ahli pemikir.

Aku mencatatkan satu pesanan Whatsapp kepada Syed Husin Ali yang pernah menjadi presiden Parti Rakyat Malaysia dari tahun 1990 sehingga tahun 2004. (PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2004)

Catatanku seperti berikut:

“Ketika Parti Rakyat susah dan semangat begitu lemah; pemimpin-pemimpin parti dalam tahanan ISA di penjara, maka Rajamoorthy adalah anggota parti dan pemimpin parti yang setia dan penuh yakin dan tabah.

"Setiap kali mesyuarat Jawatankuasa Pusat di KL atau di PJ dia akan datang dengan naik kapalterbang dari Pulau Pinang. Setiap kali Kongres Nasional dia akan hadir walau di mana; di Kota Bharu, di Kuala Trengganu, di Johor Bahru, apatah lagi jika diadakan di KL. Sungguh berdisplin. Datang tepat pada masa.

"Apabila ada perbahasan pendapat sesama anggota JKP dalam mesyuarat, Rajamoorthy yang sering berdiam diri akan bersuara dan memberikan pandangannya yang jernih, rasional dan pandang ke depan sebagai jalan penyelesaian,” demikian catatanku kepada Dr Syed Husin Ali.

Gambar penulis, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

Aku menulis begitu kerana aku tahu hal itu sebagai setiausaha agung Parti Rakyat dari tahun 1984 hingga 1990.

Selain itu aku tahu Rajamoorthy mendapat pendidikan undang-undang di London, United Kingdom. Pulang ke tanahair, Rajamoorthy menyertai Parti Rakyat di bawah pimpinan Kassim Ahmad.

Sebagai seorang peguam, Rajamoorthy bersama-sama dengan ramai peguam Parti Rakyat yang lain seperti Mohideen Abdul Kader, Abdul Razak Ahmad, ST Gamany, Gurdial Singh Nijar terlibat membantu ramai tahanan-tahanan ISA terutama pemimpin-pemimpin politik parti pembangkang.

Malaysia pernah melalui tahun-tahun bahaya pada tahun 1963 hingga 1969, 1974, 1976 dan Operasi Lalang pada tahun 1988 di mana ISA bermaharajalela.

Ramai orang ditahan tanpa bicara termasuklah pemimpin-pemimpin Parti Rakyat seperti Ahmad Boestamam, Kassim Ahmad, Prof Dr Syed Husin Ali, Hasnul Hadi, Datok Kampo Radjo, Tajuddin Kahar dan ramai lagi sehingga Parti Rakyat lumpuh.

Rajamoorthy menyaksikan itu semua. Dia membantu tahanan-tahanan ISA dan keluarga-keluarga mereka sebagai peguam.

Di dalam Parti Rakyat Rajamoorthy bertindak sebagai seorang pemikir dan penulis dalam akhbar Parti Rakyat.

Kemudian sehinggalah ke hujung usianya Rajamoorthy banyak menumpukan tenaga dan masanya dalam bidang penerbitan idea-idea patriotik dan progresif di dalam Third World Network sebagai seorang pakar undang-undang antarabangsa.


HASSAN KARIM ialah ahli parlimen Pasir Gudang.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS