Hakim AS semalam memerintahkan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng melucutkan hak terhadap AS$35.1 juta (RM155.4 juta).
Ini selepas mahkamah di New York itu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Ng kerana membantu rompakan berbilion dolar daripada syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Daerah AS Margo Brodie di Brooklyn, menolak hujah Ng bahawa dia tidak lagi berhutang selepas melucutkan hak kepada Malaysia berpuluh juta dolar hasil daripada kegiatan jenayahnya itu.
Peguam Ng, Marc Agnifilo juga berkata anak guamnya, warganegara Malaysia dan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, telah kehabisan sebahagian besar asetnya.
Brodie, bagaimanapun berkata, rampasan AS$35.1 juta itu tidak berlebihan mengikut perlembagaan.
Dia juga berkata walaupun Ng kurang bersalah berbanding orang lain, "dia memainkan peranan dalam salah satu jenayah kewangan terbesar sepanjang zaman," satu skim yang menyebabkan "kemudaratan tidak ketara kepada keyakinan orang ramai terhadap demokrasi dan kerajaan."
Agnifilo tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.
Brodie menjatuhkan hukuman penjara terhadap Ng pada 9 Mac, 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas bosnya Tim Leissner menggelapkan wang daripada 1MDB, melakukan penggubahan wang haram hasil jenayah itu, dan menyogok pegawai kerajaan untuk memenangi perniagaan.
Jho Low, ahli perniagaan Malaysia dan disyaki dalang skim itu, turut didakwa tetapi masih bebas.
Leissner berdepan hukuman pada 6 September. Goldman membuat keputusan dengan pihak berkuasa pada Oktober 2020, bersetuju membayar AS$2.9 bilion dan meminta cawangannya di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.
Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan di mahkamah Malaysia kerana menerima AS$10 juta daripada bekas syarikat 1MDB. Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku.
— Reuters