Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
22 hari mencari Hafizah, keluarga reda tapi mahu lihat depan mata

Banjir yang melanda daerah Rompin, Pahang pada awal Mac lalu sehingga mengakibatkan seorang mangsa hilang, dan masih gagal dikesan sehingga hari ini.

Bahkan, harapan menemui semula Nur Hafizah Zailan yang terjatuh dari jambatan gantung dekat Kampung Aur, Muadzam Shah, pada 3 Mac lalu, dalam keadaan selamat juga amat tipis. 

Selepas 22 hari kejadian itu, pihak berkuasa menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 16 Mac dan mengaktifkan operasi mencari orang hilang sejak minggu lalu. 

Mangsa berusia 23 tahun itu dilaporkan hilang ketika menyeberangi sungai bagi menyelamatkan kucing dipeliharanya yang berada di Kampung Aur Seberang - kampung yang berada di seberang sungai - yang memisahkan kampung Aur. 

Bapa Nur Hafizah, Zailan Abd Mani ketika ditemui berkata, dia sudah bersedia menerima apa sahaja kenyataan berkaitan nasib anaknya itu. 

"Memang saya tahu, sekarang pun dah lebih 20 hari dia hilang, kita pun dah mula puasa dan saya cuma nak tengok dia untuk kali terakhir. 

"Kalau boleh biarlah jumpa jasadnya, tidak kiralah apa keadaannya, saya harap dapat ditemui juga tidak lama lagi," katanya yang mengakui mentalnya sudah terlalu penat. 

"Sejak dia hilang sampai hari ini, macam-macam saya dengar, saya pun dah lama tak tidur, pejam saja mata, terus teringatkan dia," katanya. 

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Roszawati Mohamad (gambar atas), 45 tahun berkata, Nur Hafizah sudah berada di pusat pemindahan sementara (PPS) pada sebelah petang sebelum kejadian. 

"Dia dah pindah ke PPS ketika paras air mula naik di sini, tapi sebelah malam itu dia ikut bapa saudara untuk ambil kucing peliharaan di rumahnya.

"Masa dia cakap nak ikut, kami dah larang sebab arus air sungai dah terlalu deras dan keadaan jambatan juga tidak berapa selamat, tapi tak tahulah macam mana dia pergi juga," katanya ketika ditemui berhampiran sungai itu, hari ini. 

Dia berkata, keadaan cuaca gelap ditambah pula dengan hujan lebat mengakibatkan kehilangan Nur Hafizah hanya disedari sekitar jam 4 pagi. 

Roszawati turut berkata, anak saudaranya itu membantunya dengan bekerja sambilan di kantin sekolah berdekatan.

Katanya, tidak ada sebarang perubahan atau sikap pelik ditunjukkan Nur Hafizah sebelum kejadian itu. 

"Kami tidak nampak (sebarang perubahan) kalau ada pun, kami tak perasan sebab Nur Hafizah ni memang jenis 'happy - go - lucky'. 

"Dia rajin bantu orang dan sebelah malam dia mengajar budak-budak kampung mengaji Al-Quran," katanya lagi. 

Kain tudung berwarna merah dipercayai dipakai Nur Hafizah ketika kejadian ditemui tersangkut pada jambatan gantung ketika operasi mengangkat struktur jambatan yang runtuh itu pada Ahad lalu. 

Nur Hafizah adalah pelatih program pembangunan tamadun Orang Asli (Petama) anjuran Yayasan Pahang pada 2021. 

Dia kemudiannya dilantik sebagai penyelaras pembangunan insaniah masyarakat Orang Asli (Pepima) bagi kampung Orang Asli Gadak, dekat Bukit Ibam, tahun lalu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS