Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN l Betulkah kegagalan Wawasan 2020 kerana Abdullah, Najib
Diterbitkan:  Mar 24, 2023 3:48 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

ULASAN l Malaysia telah ditadbir oleh tiga orang dalam 30 tahun di antara 1991 sehingga 2020 untuk memenuhi matlamat Wawasan 2020: Dr Mahathir Mohamad, 1991 hingga September 2003; Abdullah Ahmad Badawi, September 2003 hingga April 2009; Najib Razak, April 2009 hingga Mei 2018; dan Dr Mahathir sekali lagi dari Mei 2018 hingga ke Februari 2020.

Mahathir mempersalahkan Abdullah dan Najib atas kegagalan Wawasan 2020 dengan Malaysia kini menjadi lebih korup, tidak bersatu padu, dan terpolarisasi dengan isu perkauman dan keagamaan berbanding dengan semasa Wawasan 2020 dilancarkan pada tahun 1991.

Adakah Mahathir tepat dalam mendakwa Abdullah dan Najib bertanggungjawab atau menjadi punca di atas kegagalan Wawasan 2020?

Tindakan Dr Mahathir Mohamad mempersalahkan Abdullah dan Najib telah menguatkan lagi hujah saya bahawa sidang Dewan Rakyat perlu dilanjutkan selama dua hari lagi untuk membahaskan mengapa Wawasan 2020 gagal. Perbahasan harus tertumpu membincangkan mengapa Malaysia kini menjadi lebih korup, tidak bersatu padu, dan terpolarisasi dengan isu perkauman dan keagamaan berbanding dengan semasa Wawasan 2020 dilancarkan pada tahun 1991.

Ketiga-tiga bekas perdana menteri ini patut dijemput untuk membentangkan kertas kepada Dewan Rakyat sebelum perbahasan mengenai mengapa Wawasan 2020 gagal berlangsung. Ini supaya para ahli-ahli Parlimen boleh mendapatkan pandangan sendiri terus daripada perdana menteri Malaysia yang keempat, kelima, keenam, dan ketujuh.

Penting untuk negara kita mencari punca kegagalan itu yang menyaksikan negara kini menjadi lebih korup, tidak bersatu padu, dan terpolarisasi dengan isu perkauman dan keagamaan berbanding dengan semasa Wawasan 2020 itu dilancarkan pada 1991.

Dengan kadar dan hasil usaha pembinaan negara bangsa sebegini dalam 30 tahun dari 1991 hingga 2020, Malaysia bakal menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik dalam tiga dekad yang akan datang. 

Sekiranya kita tidak mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik semasa kita menandakan ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057, maka kita perlu bermuhasabah dan menyiasat mengapa Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya gagal dicapai setakat ini. 

Adakah Mahathir tepat dalam mendakwa Abdullah dan Najib telah mengkhianati pencapaian Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya atau adakah benih-benih kegagalan sebenarnya telah disemai oleh Mahathir sendiri semasa pemerintahan 22 tahunnya itu walaupun peningkatan rasuah, salah guna kuasa, dan polarisasi perkauman dan keagamaan meningkat lebih banyak dalam tahun-tahun selepasnya, terutamanya semasa pemerintahan Najib. 

Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) yang diterbitkan pada 1995, Malaysia berada di tangga ke-23 dari 41 buah negara yang ditinjau. Menjelang 2003, Malaysia telah tergelincir dan berada di tempat ke-37 dari 133 negara, manakala China, India, dan Indonesia meningkatkan markah mereka dan berada masing-masing di tempat ke-65, 83, dan 122.

Kemerosotan dalam tahun-tahun pemerintahan Abdullah dan Najib lebih ketara. 

Dalam TI-CPI 2009, Malaysia mencatatkan kejatuhan markah dan kedudukan, di tangga ke-56 daripada 180 buah negara, manakala China, India, dan Indonesia, masing-masing mencatatkan peningkatan markah dan kedudukan di tangga ke-79, 84, dan 111.

Dalam tahun terakhir pentadbiran Najib, dengan pengaruh kuat akibat skandal 1MDB, Malaysia terjerumus lagi dalam TI CPI 2017 dan menduduki tangga ke-62 daripada 180 buah negara, manakala China, India, dan Indonesia terus mencatatkan penambahbaikan, masing-masing berada di tempat ke-77, 81, dan 96.

Bolehkah Malaysia kembali semula kepada prinsip asal pembinaan negara bangsa seperti yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuk empat presiden terawal Umno) ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, menghentikan kemerosotan negara dan mengembalikan potensi kita sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia dan bukannya menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik?

Persoalan yang paling penting sekarang adalah sama ada Mahathir masih percaya dengan Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya sebagai prinsip asas pembinaan negara.

Adakah Mahathir masih percaya dengan Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya ini?


LIM KIT SIANG ialah seorang veteran DAP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS