Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Iftar di gereja: Salleh kongsi mesej toleransi dari UAE

Selepas menonton satu video tular, bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak merasakan dia harus berkongsi video itu dengan semua rakyat Malaysia, dengan harapan untuk merapatkan rakyat pelbagai latar.

Klip berdurasi 59 saat itu memaparkan pengalaman seorang lelaki berbuka puasa di sebuah gereja di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bercakap tentang pengalamannya, lelaki itu berkata: "Apa yang saya lihat petang ini ialah orang Islam melangkah ke dunia Kristian dan orang Kristian melangkah ke dunia Islam. Apa yang saya lihat hanyalah senyuman. Apa yang saya lihat hanyalah kebahagiaan."

"Apabila agama diperkatakan di seluruh dunia, ia seolah-olah memecahbelahkan. Tetapi, saya hanya berada di sebuah gereja yang melayani umat Islam dalam masyarakat, Iftar. Dan apa yang saya lihat hari ini adalah tanda iman seseorang, tentang apa yang diperjuangkan oleh manusia.

"Dan iman seseorang tidak berkurangan hanya kerana mereka bersikap terbuka dan bertolak ansur dengan orang lain. Jika ada, ia dimaksimumkan…," katanya.

Walaupun, tidak dapat dipastikan bila video itu dirakam, laporan berita dari UAE menyatakan bahawa Gereja St Andrew di Abu Dhabi menganjurkan jamuan Iftar antara umat Islam dan Kristian pada 2019.

Sementara itu, Salleh berkata video itu mengandungi pengajaran tentang toleransi yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia, terutamanya pada ketika ini.

"Sungguh menyayat hati bahawa negara kita sedang dirobek-robek oleh mereka yang berharap untuk mengambil kesempatan daripada perpecahan tanpa mempedulikan kesan daripada tindakan mereka.

"Saya berharap perkongsian video ini dapat memberi impak. Kita semua mesti memainkan peranan kita untuk memelihara warisan berbilang kaum dan agama.

"Kita tidak boleh membiarkan mereka yang berkepentingan mewujudkan perpecahan di kalangan kita untuk matlamat jangka pendek mereka kerana akibatnya adalah jangka panjang. Ingat, bersatu kita teguh, bercerai kita runtuh," katanya kepada Malaysiakini.

Salleh juga memuji titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa tidak ada sebab untuk menghalang orang Islam daripada melawat tempat ibadat bukan Islam, selagi tidak terlibat dalam upacara keagamaannya.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia memberi pandangan yang tepat apabila baginda menyatakan kepercayaan terhadap akidah umat Islam," katanya.

Sebelum ini, bekas ketua menteri itu menggesa rakyat Sabah supaya menjaga toleransi etnik dan agama mereka terhadap ekstremisme.

Menyedari tempat ibadat berbeza agama terletak bersebelahan antara satu sama lain di Malaysia Timur, dia menambah di sana tidak pelik untuk melihat umat Islam menghadiri majlis perkahwinan Kristian di gereja.

Kenyataan Salleh itu dibuat susulan kerajaan negeri Selangor menghalang program melibatkan orang Islam di rumah ibadat bukan Islam.

Keputusan itu dibuat selepas pemimpin pembangkang mendakwa program dinamakan "Projek Artikel 11" anjuran Impact Malaysia sebagai program ‘Kristian Evangelis’.

Projek Artikel 11 ialah program yang melibatkan golongan belia yang dibawa mengunjungi rumah ibadat pelbagai agama sebagai sebahagian daripada usaha Impact Malaysia meningkatkan kesedaran masyarakat majmuk di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS