Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Import haram sampah elektronik: K'jaan pertimbang denda lebih tinggi
Diterbitkan:  Mar 24, 2023 11:35 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

PARLIMEN | Kerajaan sedang mengusahakan pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk meningkatkan hukuman terhadap pengimportan haram sampah elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram yang semakin berleluasa

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan perkara itu dalam jawapan bertulis kepada Yeo Bee Yin (PH-Puchong), yang juga bekas menteri alam sekitar.

"Kadar denda akan ditingkatkan pada satu tahap yang lebih deterrent (mencegah) bagi menunjukkan kesungguhan dan komitednya kerajaan dalam mengatasi masalah pengimportan haram e-waste," katanya.

Nik Nazmi berkata di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, penalti bagi pengimportan haram ialah dihukum penjara tidak melebihi 5 tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

Undang-undang yang sama telah dipinda parlimen pada tahun lepas, yang pada ketika itu memberi tumpuan kepada peningkatan penalti terhadap lambakan bahan berbahaya dan pencemaran air.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata Putajaya komited untuk memastikan Malaysia tidak dijadikan tempat transit atau pelupusan sisa elektronik (electronic waste - e-waste) dari negara-negara maju.

Sehubungan itu, Nik Nazmi berkata kerajaan komited untuk memulangkan import sampah haram berkenaan ke pelabuhan asal mereka berikutan komitmen negara terhadap Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya.

Menteri itu berkata di bawah Konvensyen Basel, penghantaran e-waste rentas sempadan memerlukan persetujuan termaklum terlebih dahulu daripada negara penerima.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengimport yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan, termasuklah menghantar balik kontena e-waste import tersebut ke negara asal selaras dengan Artikel 9, Konvensyen Basel,” katanya.

Oktober lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa kira-kira lebih daripada 1,000 kontena dengan bertan-tan berat sisa elektronik diimport dan diproses secara haram di Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pencemaran bahan buangan terkawal di negara ini.

Menurut pemain industri, terdapat sekurang-kurangnya 200 loji yang mengitar semula e-sisa secara haram di negara ini.

Berdasarkan laporan, e-sisa tersebut diperolehi dari beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan United Kingdom.

Logam berharga termasuk emas, tembaga dan aluminium akan diekstrak daripada e-sisa, dan dihantar ke China dan buangannya dilupuskan di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS