Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Kementerian Kesihatan (KKM) tidak dapat menafikan golongan berisiko daripada mendapatkan ubat profilaksis propendedahan (PrEP) kepada golongan berisiko bagi mencegah jangkitan HIV.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni menjelaskan ini kerana langkah pencegahan kepada golongan berisiko adalah lebih penting bagi mencegah penyebaran penyakit tersebut.

“Isu PrEP, walaupun kerajaan Selangor ataupun mufti Selangor telah keluarkan fatwa atau kenyataan, kami di KKM sedang mengadakan sesi libat urus dan saya melihat kita tidak dapat menidakkan golongan berisiko untuk mendapatkan PrEP ini.

“Saya juga melihat adalah lebih baik untuk kita mencegah golongan-golongan berisiko itu daripada menyebar luas jangkitan HIV ini dalam kalangan pasangan, masyarakat, rakan-rakan mahupun kenalan-kenalan mereka," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Lukanisman berkata KKM akan sentiasa mengadakan libat urus dan meneliti program rintis yang sedang dilaksanakan, sama ada ia perlu diteruskan atau perlu ada langkah ke hadapan agar jangkitan HIV dapat terus dicegah, termasuk dalam kalangan homoseksual.

Lukanisman Awang Sauni

Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang bertanya mengenai larangan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor berkenaan pengunaan PrEP kepada pasangan homoseksual.

Pada 19 Jan lalu, Jabatan Mufti Negeri Selangor melarang pemberian ubat PrEP yang digunakan untuk mencegah jangkitan HIV kepada pasangan homoseksual.

Menurutnya, pengambilan atau pemberian ubat itu hanya diharuskan kepada pasangan suami isteri.

Bagaimanapun setakat 27 Jan lalu, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) belum mengeluarkan sebarang fatwa berhubung larangan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS