Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan cadang penjara 20 tahun, denda RM50k pada pedofil buat 'livestream'

Kalangan yang menyertai siaran langsung dalam talian bersifat seksual melibatkan kanak-kanak bawah umur boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Mereka juga boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 jika sabit kesalahan, kata Azalina.

"Ini termasuklah pelaku yang mengarahkan pencabulan atau menerima wang daripada livestream.

"Ia juga terpakai kepada mereka yang meninggalkan komen di livestream, seperti memberitahu kanak-kanak untuk buat apa dan pakai apa," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Azalina menjelaskan ia antara pindaan yang akan dibuat terhadap akta tersebut yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 Mac ini.

Katanya, kesalahan lain yang akan dimasukkan ke dalam akta itu adalah ugutan seksual, yang melibatkan penggunaan gambar tidak wajar kanak-kanak sebagai bahan ugutan. Pesalah boleh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Dia berkata kanak-kanak yang mengugut kanak-kanak lain dengan gambar seumpama itu juga akan dikira sebagai pelaku.

Ini merupakan antara fasa pertama pindaan melibatkan undang-undang berkenaan mangsa bawah umur - inisiatif yang diumumkan Azalina dua minggu lalu.

Fasa pertama ini juga dijangka melibatkan pindaan dalam Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007, seperti menukar syarat usia saksi kanak-kanak daripada "16 tahun ke bawah" kepada "18 tahun ke bawah".

Hakim juga mungkin diberi kuasa budi bicara untuk menolak soalan daripada peguam bela ketika perbicaraan jika soalan tersebut dilihat tidak sesuai atau agresif terhadap kanak-kanak.

Selain itu, kerajaan juga akan menimbang untuk menambah bilangan mahkamah-mahkamah khas untuk kes kanak-kanak memandangkan mahmakah biasa "terlalu menakutkan buat kanak-kanak".

"Kita perlukan lebih mahkamah yang mesra kanak-kanak, pada masa ini kita cuma ada lima.

"Tidak adil untuk kanak-kanak ini yang perlu buat perjalanan jauh dan berbelanja untuk datang ke mahkamah.

"Kita harap dapat wujudkan 20 mahkamah khas dalam fasa pertama dan 20 lagi ketika fasa kedua," kata ahli parlimen Pengerang itu.

Fasa kedua pindaan dijangka akan dilaksanakan ketika sidang Dewan Rakyat akan datang selepas libat urus dengan pemegang taruh dijalankan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS