Lim Kit Siang menggesa semua ahli parlimen dan menteri persekutuan untuk membaca sembilan cabaran strategik yang digariskan oleh Dr Mahathir Mohamad semasa melancarkan Wawasan 2020.
Sambil menasihati semua rakyat Malaysia untuk melakukan perkara sama, pemimpin veteran DAP itu berkata ini akan membantu mereka untuk “memahami di mana kita tersilap dan gagal dalam usaha membina negara bangsa selama enam dekad yang lepas.”
Menurut Lim, Mahathir sendiri boleh mendapat manfaat dengan mengimbas semula Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategi yang diilhamkan olehnya itu.
Ahli politik veteran itu turut memetik ucapan Mahathir ketika melancarkan Wawasan 2020 pada 1991, yang berbunyi: “Menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang bersatu padu, dengan masyarakat Malaysia yang berkeyakinan, diterapkan dengan nilai moral dan etika yang kuat, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertoleransi, saling peduli, dengan ekonomi yang adil dan saksama, progresif dan makmur, memiliki ekonomi yang berdaya saing, dinamik, berketahanan, dan mampan.
“Tidak akan ada sebuah Malaysia yang benar-benar maju sehingga kita berjaya mengatasi sembilan cabaran strategik utama yang ada di hadapan kita sejak dari permulaan negara kita sebagai sebuah negara yang merdeka.
“Cabaran yang pertama adalah untuk menubuhkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu, dengan identiti dan cita-cita yang dikongsi bersama. Negara ini perlulah berdamai dengan diri sendirinya, terintegrasi dari segi wilayah dan etnik, hidup dalam harmoni dan dengan perkongsian penuh dan adil, dibentuk oleh ‘Bangsa Malaysia’ dengan kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.”
Selepas membaca semula cabaran itu, Lim berkata dia berasa "seram" apabila mendapai bahawa kesemua sembilan cabaran itu adalah kegagalan besar buat Malaysia.
“Kegagalan sembilan cabaran strategik Wawasan 2020 inilah punca mengapa hari ini Malaysia telah mundur dari asalnya sebuah negara terbaik dunia kepada sebuah negara yang biasa-biasa sahaja, yang berada dalam bahaya menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057.
“Kegagalan ini juga merupakan punca mengapa Malaysia telah menjadi sebuah negara yang sangat korup, ketinggalan di belakang Indonesia, China, dan India dalam beberapa dekad yang lepas,” katanya.
Mengambil maklum bahawa negara tidak pernah terpolarisasi dan berpecah belah seteruk ini, Lim mengecam Mahathir kerana cuba melebarkan perpecahan itu.
“Orang yang melancarkan Wawasan 2020 sendiri tidak membuat apa-apa untuk memastikan kebangkitan ‘Bangsa Malaysia’ dengan kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
“Sebaliknya, dia melakukan perkara yang bertentangan – berada bersama mereka yang menyebarkan politik toksik perkauman dan keagamaan yang diasaskan kepada penipuan, fitnah, dan berita palsu seperti kononnya DAP mempromosikan Islamofobia,” katanya.
Lim juga menuduh pembangkang melakukan perkara yang bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan utuh adn bersatu padu.
Mahathir, yang memegang jawatan pertama sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003, telah melancarkan visi dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian yang berdikari menjelang tahun 2020.
Sembilan cabaran yang disenaraikannya ialah:
1: Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu.
2: Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan.
3: Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang.
4: Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.
5: Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi.
6: Membina masyarakat yang maju dan saintifik.
7: Mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang.
8: Menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya.
9: Memupuk dan membina masyarakat makmur.