Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perbicaraan Nuramira boleh diadakan di rumah, hospital - hakim

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memberi amaran bahawa perbicaraan membabitkan Siti Nuramira Abdullah boleh dijalankan di rumah atau hospitalnya jika dia masih tidak hadir ke mahkamah.

Nor Hasniah Ab Razak mengeluarkan peringatan keras itu apabila pasukan peguam Siti Nuramira memaklumkan bahawa anak guamnya itu sekali lagi tidak hadir hari ini.

Semalam, perbicaraan kes kontroversi itu terpaksa ditangguhkan ke hari ini kerana Siti Nuramira mempunyai sijil cuti sakit kerana sakit perut.

Terdahulu semasa prosiding, hakim dimaklumkan oleh peguam Siti Nuramira, R Sivaraj bahawa anak guamnya masih tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana dimasukkan ke bilik kecemasan (ER) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam tadi.

Siti Nuramira Abdullah

Bagaimanapun, ketika diberikan dokumentasi oleh penjamin Siti Nuramira, Nor Hasniah melahirkan rasa tidak puas hati, kerana dokumen yang dikemukakan itu tidak menunjukkan bahawa tertuduh telah dimasukkan ke ER.

Sebaliknya, hakim itu menyatakan bahawa dokumen berkenaan hanya menunjukkan pembayaran dan bukannya mengesahkan bahawa Siti Nuramira benar-benar dimasukkan ke hospital malam tadi.

Nor Hasniah kemudiannya menangguhkan perbicaraan ke 17 April dan menambah tarikh perbicaraan selanjutnya pada 26 dan 31 Mei bagi menggantikan hari perbicaraan yang ditangguhkan hari ini dan semalam.

[Baca berita penuh]

Kes Nuramira tangguh lagi

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur memberi amaran kepada Siti Nuramira Abdullah, yang didakwa mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam, bahawa perbicaraan kesnya boleh diadakan di rumah wanita itu atau di wad hospital sekiranya dia berterusan tidak hadir perbicaraannya di mahkamah.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak mengeluarkan amaran itu selepas peguam R Sivaraj yang mewakili Siti Nuramira, 27, memaklumkan kepada mahkamah tertuduh sekali lagi tidak hadir kerana dimasukkan ke wad di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Semalam, Mahkamah Sesyen sama telah menangguhkan perbicaraan kes kerana wanita itu cuti sakit akibat gastroenteritis.

Nor Hasniah berkata memandangkan ini kali kedua tertuduh tidak hadir perbicaraan, mahkamah perlu melihat laporan perubatan tertuduh sekiranya dia sekali lagi tidak hadir pada tarikh perbicaraan akan datang.

“Saya menangguhkan kes hari ini dan sambung bicara pada 17 April. Pihak-pihak (pembelaan dan pendakwaan) bersetuju tarikh ganti bicara hari ini dan semalam pada 26 serta 31 Mei ini, manakala jaminan terhadap tertuduh dilanjutkan.

“Ini kali kedua MC (termasuk semalam). Kalau masih lagi MC selepas (17 April) perbicaraan perlu diteruskan sama ada di hospital atau rumah dia (Siti Nuramira),” katanya pada prosiding yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Nadia Mohd Izhar.

Pada 13 Julai tahun lepas, Siti Nuramira dalam persembahan pentas di Kelab Komedi Crackhouse dikatakan mengaku sebagai Muslim yang menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum bertindak membuka tudung serta menanggalkan baju kurung, dan perbuatan itu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dalam kalangan penganut agama Islam.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur pada 6 petang 4 Jun 2022 mengikut Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, jika sabit kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS