Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan permohonan Loh batalkan penukaran agama anak pada 11 Mei

Ibu tunggal Loh Siew Hong akan mengetahui pada 11 Mei sama ada dia berjaya dalam permohonannya di mahkamah sivilnya untuk membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral atau sepihak ke atas tiga orang anaknya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) menetapkan tarikh penghakiman itu selepas mendengar hujahan lisan daripada semua pihak hari ini.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendengar hujah mengenai merit semakan kehakiman oleh peguam Loh, A Srimurugan serta daripada peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan penasihat undang-undang negeri Perlis Mohd Radhi Abas.

Haniff mewakili Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips), manakala Radhi mewakili Pendaftar Mualaf Perlis, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, dan kerajaan negeri.

Maips, Asri dan pendaftar mualaf negeri serta kerajaan negeri adalah responden yang menjadi sasaran semakan kehakiman.

Pada 1 Ogos tahun lalu, mahkamah sivil memberi kebenaran kepada Loh untuk memulakan semakan kehakiman. Hari ini adalah perbicaraan bagi mendengar tentang merit tindakan undang-undang berkenaan.

Loh memperoleh hak penjagaan penuh anak-anaknya menerusi mahkamah keluarga sivil pada Disember 2021. Prosiding perceraian adalah antara dirinya dan bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran Muniandy yang adalah seorang mualaf.

Pada 21 Feb tahun lalu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang berasingan membenarkan permohonan habeas corpus Loh untuk disatukan semula dengan tiga orang anaknya.

Bulan berikutnya, ibu berusia 35 tahun itu membawa kes berkenaan ke mahkamah sivil untuk mencabar kesahihan penukaran agama anak-anaknya.

Menerusi semakan kehakiman itu, dia memohon perintah certiorari untuk membatalkan pendaftaran Pendaftar Muallaf Perlis bagi penukaran agama anak-anaknya yang bertarikh 7 Julai 2020.

Loh memohon beberapa perintah mahkamah, antaranya bahawa Nagahswaran tidak layak dari segi undang-undang untuk mengislamkan anak-anak mereka.

Perintah lain yang dipohon ialah enakmen negeri Perlis - yang membenarkan salah seorang daripada ibu bapa untuk mengislamkan anak di bawah umur tanpa kebenaran kedua-dua ibu dan bapa - adalah tidak sah dari segi perlembagaan.

Dia juga memohon perintah bahawa anak kembarnya, yang berumur 14 tahun dan anak lelakinya yang berusia 11 tahun adalah beragama Hindu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS