Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Undian etnik PRU15 – Siri 5: Peralihan pilihan raya di S'wak

ULASAN | Wujud suatu kepercayaan bahawa politik di Sarawak adalah lesu dan tidak berubah. Ia didasari pandangan silap bahawa orang Sarawak tidak berperanan aktif terhadap masa depan politik mereka sendiri dalam pilihan raya, mudah dimanipulasi wang ringgit, serta tidak sanggup mengubah kesetiaan politik atau tidak berani membuat keputusan terbaik demi masa depan sendiri.

Masih ada salah faham terhadap kerancakan serta dinamika politik di Borneo, dan sikap warga Sarawak yang yakin dalam diam. 

Bahagian 5 dalam siri undian etnik ini memfokuskan kepada Sarawak dalam kaca mata PRU15. Ia adalah tambahan kepada analisis terdahulu saya berkenaan pengundian Sarawak yang menganalisis keputusan pusat mengundi semasa PRU14, PRU15 dan PRN Sarawak 2021.

Pemerhatian lebih dalam terhadap tingkah laku pengundian menunjukkan warga Sarawak terlibat dengan aktif dalam politik, manakala corak sokongan etnik sedang berubah.

Mengenai corak pengundian yang dikesan berlaku Semenanjung Malaysia pula, di Sarawak, beberapa komuniti etnik menukar sokongan mereka pada PRU15.

Bahkan, berbeza dengan kepercayaan yang disebut di awal tadi, Sarawak sememangnya wilayah yang sedang mengalami peralihan politik. 

Berapa pentingkah peranan Sarawak dalam PRU15?

Sedikit peringatan tentang peranan dimainkan Sarawak dan Sabah di peringkat nasional. Memandangkan persaingan sengit serta polarisasi yang berlaku dalam politik nasional, sokongan Borneo adalah amat penting untuk berkuasa di peringkat kebangsaan. 

Pertamanya, hal ini terlihat pada angka. Dari 148 kerusi dalam kerajaan perpaduan Anwar, 20 peratus atau 30 kerusi adalah dari Sarawak – majoritinya dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), 5 lagi dari DAP Sarawak, satu dari PKR dan satu dari Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Tanpa kerusi dari Sabah dan Sarawak ini, Pakatan Harapan (PH) tidak akan mempunyai kelebihan untuk meletakkan diri dalam kedudukan untuk memegang kuasa.

Dari 82 kerusi dimiliki PH dan sekutunya dalam PRU15, enam kerusi atau 7 peratus datangnya dari Sarawak. 

Borneo memainkan peranan penting dalam menetapkan haluan negara ini. Sejak 2011, boleh dikatakan Sarawak telah lama menghantar mesej politik penting sebagai tanda awal perubahan – memberi tekanan ke arah perubahan serta menzahirkan kekecewaan terhadap prestasi –  dan baru-baru ini, menggesa ke arah kestabilan dan untuk mengurangkan polarisasi etnik dan ekstremisme agama. 

Nasionalisme regional dengan tuntutan untuk mendapatkan autonomi lebih besar telah menjadi naratif politik utama dalam PRN 2021, dengan gesaan parti-parti pembangkang ke arah autonomi lebih luas berjaya meraih sokongan 22 peratus undi popular Sarawak.

Keputusan itu berbeza dalam PRU, memandangkan parti-parti tempatan adalah kurang relevan. 

Lihat keputusan keseluruhan PRU15 Sarawak

GPS menang selesa apabila gabungan yang dikepalai Premier Abang Johari Openg itu berjaya merangkul 23 dari 31 kerusi. Namun, apa yang tidak cukup diiktiraf adalah peningkatan yang dinikmati parti lain.

Pembangkang DAP Sarawak dan pemimpin kuat dari kelompok lebih muda Larry Sng Wei Shien dari PBM dan Ali Biju dari Perikatan Nasional kedua-duanya mengekalkan bahkan menikmati peningkatan sokongan.

Tidak ramai menyedari/menghargai bahawa 43 peratus rakyat Sarawak menyokong pilihan yang bukan dari GPS – satu petanda bahawa meskipun GPS masih mendominasi, sokongannya tidaklah sekuat sepertimana yang tergambar pada bilangan kerusi semata-mata.  

Naratif PRU15 di Sarawak adalah berbeza-beza. Tidak seperti PRN Dis 2021 yang menggesa untuk autonomi, persaingan di PRU15 adalah tentang siapa yang terbaik pengundi rasakan dapat mewakili mereka di persada nasional dan pemimpin/gabungan manakah yang akan dapat berkhidmat dengan baik buat komuniti.

Corak pengundian menunjukkan tidak sedikit pengundi memilih untuk tidak menumpukan undi hanya pada satu gabungan semata-mata – iaitu GPS – sebaliknya memilih wakil pelbagai parti. 

Pada masa sama, terutamanya memandangkan fokus kempen Abang Johari pada PRU 2022 adalah seputar kepemimpinannya, tahap sokongan terhadap kepemimpinannya didapati menurun dari kempen serta pengendalian pandemik Covid-19 yang baik pada 2021.

Keputusan di Sarawak menunjukkan walaupun kepemimpinan GPS kuat, terdapat jurang dalam sokongan dalam kalangan beberapa komuniti. 

Pengundian Sarawak: Variasi kadar keluar mengundi

Analisis saya terhadap Sarawak memfokuskan komuniti utama – Cina, Melayu Sarawak (berbeza dari Semenanjung atau dari sesetengah Melayu Semenanjung yang sudah bermastautin/tinggal di Sarawak) / Melanau, Bidayuh, Iban dan komuniti bumiputera lain termasuk lebih 30 komuniti berbeza dari Orang Ulu dan Lun Bawang ke Kayan dan Kelabit.

Kumpulan-kumpulan lebih kecil ini tinggal kawasan-kawasan khusus, jadi sampelnya adalah terlalu kecil untuk melihat corak pengundian seluruh Sarawak. 

Juga relevan dalam kita memahami corak undian etnik adalah, Sarawak mempunyai majoriti penganut Kristian dengan hanya lebih sepertiga (34 peratus) populasi Islam.

Konfigurasi agama Sarawak adalah penting dalam memahami keputusan PRU15 memandangkan retorik anti-Kristian yang kencang oleh kempen PN memberi kesan kepada sebahagian pengundi untuk memilih gabungan yang dilihat melindungi toleransi beragama sejak sekian lama.

PN masih memenangi sebuah kerusi di Sarawak, namun ia bersandarkan kekuatan calon Ali Biju dan bukannya gabungan atau mesej yang cuba disampaikan. 

Berkenaan kadar keluar mengundi, dapatan menunjukan peningkatan ketara di kalangan pengundi Cina Sarawak, pada anggaran 14 peratus. Tahap keluar mengundi Melayu/Melanau dan Bidayuh kekal sama seperti PRN Sarawak 2021, iaitu lebih rendah dari PRU14.

Bagi Iban dan Bumiputera lain pula, peratusan dianggarkan menurun, masing-masing dari 69 peratus ke 61 peratus dan dari 58 peratus ke 49 peratus.

Ini bukanlah penurunan yang signifikan. 

Pada angka 62 peratus, Sarawak memiliki kadar keluar mengundi paling rendah di negara ini dalam PRU15. Ia adalah kesan pengundi yang tidak dapat pulang ke kampung untuk mengundi.

Kajian saya mendapati komuniti yang lazimnya tinggal di kawasan lebih terpencil mempunyai kadar keluar mengundi paling rendah berbanding semua rakyat Sarawak yang lain.

Ini sekali lagi menunjukkan keperluan mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperkenalkan undi pos dan jarak jauh.

Kegagalan berbuat demikian menafikan hak mengundi buat rakyat Sarawak, lebih-lebih lagi komuniti-komuniti yang lebih miskin di negeri itu.

Tidak seperti negeri-negeri lain, rakyat Sarawak mengekalkan tempat mengundi di Sarawak apabila mereka berpindah ke luar.

Ini ada kaitan dengan hak tanah komunal dan sangat berkait rapat dengan pengekalan identiti budaya mereka. Amalan SPR kini terhadap proses pengundian mendiskriminasi secara tidak adil. 

Corak kadar keluar mengundi turut menunjukkan isu-isu kempen PRU15 tidak diterima baik oleh kaum Iban dan komuniti lain berbanding kumpulan-kumpulan lain yang kadar keluar mengundinya meningkat. Kadar keluar mengundi kaum Cina meningkat paling tinggi pada PRU15. 

Peralihan sokongan etnik Sarawak

Peningkatan kadar keluar mengundi ini merupakan sebahagian daripada peralihan sokongan Cina yang lebih luas.

Sokongan terhadap PH dan DAP Sarawak meningkat lebih dua kali ganda berbanding PRN Sarawak 2021 menjadi 71 peratus. Ini tidaklah setinggi angka 83 peratus yang dicatat semasa PRU14, tetapi ia merupakan peralihan yang signifikan.

PH/DAP Sarawak turut menerima anggaran 40 peratus peralihan sokongan dari kalangan orang Bidayuh, 22 peratus dari Iban dan peralihan sederhana dari semua komuniti bumiputera lain.  

Orang Sarawak rata-ratanya menolak retorik perkauman. Kumpulan sasaran di kalangan Bidayuh dan Cina Sarawak (kumpulan dengan peralihan sokongan paling ketara) menolak retorik anti-Kristian.

Dapatan serupa turut dikesan di Sabah. Mereka yang mengapi-apikan ketegangan kaum di Semenanjung Malaysia kehilangan sokongan dan kerusi di Borneo.

Atas faktor inilah PH/DAP Sarawak memenangi kerusi seperti di Mas Gading, Miri dan Sibu.

Faktor yang tidak kurang penting adalah kepercayaan lebih kuat dalam kalangan pengundi yang beralih sokongan bahawa PH akan mewakili komuniti dengan lebih baik di peringkat nasional berbanding GPS.

Dapatan undian etnik GPS menunjukkan kemerosotan sokongan Cina dan Bidayuh, masing-masing pada anggaran 15 peratus dan 12 peratus.

Sokongan dalam kalangan pengundi Cina Sarawak kepada GPS pada PRU15 dianggarkan lebih tinggi berbanding PRU14, tetapi bukan begitu bagi pengundi Bidayuh.

GPS mengekalkan sokongan Melayu/Melanau pada PRU15, bahkan meraih peningkatan sokongan sebanyak 6 peratus di kalangan Iban dan bumiputera lain.

Sebagai sebuah gabungan, GPS memiliki sokongan semua komuniti, tetapi sokongan tersebut tidak sekata dan sedang berubah. 

Dapatan menunjukkan meskipun polarisasi di Semenanjung ditolak oleh warga Sarawak, pada masa yang sama ia turut tercermin pada corak pengundian etnik berbeza di Sarawak itu sendiri, terutamanya perbezaan dalam kalangan orang Melayu/Melanau dan Cina Sarawak.

Dapatan turut menunjukkan bahawa komuniti lain di Sarawak, terutamanya Iban dan Bidayuh, memiliki corak pengundian dan keperluan untuk perwakilan/tadbir urus mereka yang tersendiri. 

Sementara GPS mungkin tampil kuat, buat masa ini kekuatannya berbeza-beza mengikut komuniti. Cabaran buat GPS sebagai sebuah gabungan adalah untuk memastikan semua komuniti berbeza di Sarawak dapat diwakili dalam keputusan yang mereka buat, menentukan sekutu untuk bekerjasama, serta dasar mana yang mereka putuskan untuk sokong/tolak.

Ia bukanlah jalan yang mudah, lebih-lebih lagi Sarawak memainkan peranan serentak dalam mengurangkan polarisasi etnik nasional. 

GPS juga sangat menyedari bahawa usahasama dengan PH1.0 sebelumnya ditolak pada PRN 2021 apabila pengundi tidak gembira dengan prestasi kerajaan Mahathir Mohamad dan kurangnya sokongan kerajaan itu kepada Sarawak.

Tidak hairanlah kenapa GPS berulang kali menggesa Anwar untuk mengotakan janjinya kepada Sarawak, bagi mengekalkan kepercayaan sebagai rakan kongsi yang penting – tanpa sokongan GPS, kerajaan Anwar tidak akan dapat memiliki majoriti selesa di Parlimen. 

Untuk DAP Sarawak, walaupun mempertahankan hampir semua kerusi dimenangi pada 2018 dahulu (kecuali Sarikei), mereka turut berdepan cabaran untuk menyuarakan isu dalam kerajaan, di kala mereka tidak menghadiri mesyuarat, tidak memegang jawatan penting dalam kerajaan dan peruntukan kawasan persekutuan dikurangkan (kerana GPS mempunyai akses lebih besar kepada hasil kerajaan dan kuasa naungan).

Amalan-amalan sempit ini seperti memperkecil pengundi Sarawak yang memilih PH/DAP Sarawak, kebanyakannya pengundi sama yang menghukum PH 1.0 pada 2021.

Mereka ini menilai dengan penuh tajam dan cermat bagaimana dasar dan usaha dapat menangani keperluan Sarawak dan warganya. Malah, sebenarnya, menjadi sekutu sampingan dalam kerajaan Anwar mungkin menguntungkan DAP Sarawak, dalam pada mereka menyusun posisi untuk agihan kerusi yang akan bermula seawal tahun depan serta PRN (tidak tamat sehingga 2026).  Pertempuran-pertempuran ini bakal ditempuh. 

Corak undian etnik di Sarawak pada PRU15 menunjukkan sokongan untuk parti-parti berbeza sedang berubah.

Dengan konfigurasi nasional, gabungan dan persaingan yang baru, sokongan bakal berubah lagi. Pengundi Sarawak juga beralih sokongan.

Memandang enteng Sarawak dan menganggap corak undian akan terus kekal sama, adalah satu kesilapan.

Realiti kontemporari politik Sarawak adalah pengundi mengharapkan lebih lagi daripada semua pemimpin dan parti mereka – iaitu harapan ke arah kerajaan yang lebih baik dan adil, yang sudah lama mereka dambakan dan sudah lama mereka sepatutnya terima.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS